Kita semua ingat cerita rakyat mengenai Pak Kaduk bersorak riang meraikan kemenangan ayam sabungnya tanpa menyedari ayam sabung yang muncul juara bukan lagi menjadi miliknya kerana sudah ditukarkan sebelum perlawanan sabung ayam bermula.

Lebih memalukan kerana pakaiannya yang diperbuat dari kertas habis carik dek kegembiraannya melompat-lompat meraikan kemenangannya itu. – Nah, itulah yang sedang berlaku di depan mata kita sekarang seperti mana kes 1MDB yang terpaksa menjual Edra kepada syarikat dari negara China.

Semata-mata hendak membayar hutang! – Apa yang pro Najib @ pro 1MDB bersorak bangga sangat dengan pengadaian harta milik rakyat negara ini kepada negara asing? –  Komen blogger Dinturtle

Umno hari ini dan nilai bangsa – Sakmongkol

Oleh Datuk Ariff Sabri

Saya menulis artikel ini sebab saya orang Melayu. Semua orang Melayu mesti menilai apa sebenarnya yang dilakukan mana-mana kumpulan yang mendakwa mereka menjuarai kepentingan bangsa. Umno tidak terkecuali.

Semakin hari Umno hilang kepercayaan bangsa Melayu. Semasa 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membeli jana kuasa swasta dengan harga berbilion ringgit dahulu, tidak sedikit puak pelampau Melayu menjerit dan melolong tindakan tersebut yang dikatakan hendak meletakkan aset dalam tangan Melayu.

Bahkan kita ada undang-undang yang mengehadkan pegangan ekuiti asing dalam syarikat milik kerajaan pada tahap 49%.pak kaduk ayam

Hari ini apa jadi? Aset tersebut dijual pada syarikat China. Sekali gus, alasan pembelian jana kuasa 1MDB dahulu, hancur lebur. Tunjukkan duit, maka pemimpin Umno jual segala-galanya?

Maruah bangsa hilang sekelip mata. Si tukang jerit dan lolong, senyap sepi membisu seribu bahasa.

Bangsa kita berjuang dan menumpahkan darah mempertahankan martabat dan ketuanan bangsa.

Tok Janggut di Kelantan, Dol Said di Negeri Sembilan, Tok Gajah, Bahaman, Mat Kilau dan kumpulan mereka di Pahang, pemimpin-pemimpin Melayu lain mempertaruhkan nyawa untuk menjaga maruah dan nilai bangsa.

Pemimpin Umno hari ini, buang itu semua.

Nyatalah perjuangan ketuanan bangsa ialah melalui perbuatan dan perlaksanaan bukan dengan slogan dan omongan kosong. Perjuangan ketuanan bangsa didukung usaha menegakkan kebenaran dan keadilan.

Apa yang pemimpin Umno hari ini lakukan?

Pemimpin Umno mengajar bangsa Melayu, mengekalkan kemerdekaan bukan nilai yang penting.

Menyelamatkan diri sendiri, mendahulukan kepentingan peribadi adalah nilai baharu orang Melayu.

Umno mengajar bangsa Melayu, menjadi penegak kebenaran dan keadilan tidak penting.

Apa sudah jadi kepada Umno? Ia tidak lagi mewakili nilai-nilai terbaik bangsa Melayu.

Ia parti yang tidak tahu menghargai pemimpin yang benar-benar berjasa. Sebaliknya, menjadi perkakas untuk menjaga pemimpin yang buruk.

Saya berharap nilai-nilai yang dibawa dan didukung Umno hari ini tidak mewakili nilai bangsa Melayu keseluruhannya:

• Melayu tidak boleh dipercayai.
• Melayu tidak cekap.
• Melayu tidak kenang budi orang yang berjasa.
• Melayu gadai maruah untuk duit.
• Wang, duit dan pangkat mengatasi baik dan buruk, benar dan salah, hitam dan putih.
• Melayu tidak berprinsip.

Mari kita lihat nilai mengenang budi.

Ini suatu yang saya tidak faham dengan 22,000 ketua cawangan Umno.

Adakah jasa Tun Dr Mahathir Mohamad yang jadi presiden Umno dan perdana menteri selama 22 tahun serta membangunkan minda orang Melayu boleh dilupakan dan diketepikan? Mana wira-wira Umno yang dibentuk Dr Mahathir?

Saya tidak fikir Dr Mahathir ada kepentingan apa-apa selain mahu melihat Malaysia diselamatkan daripada kepimpinan yang memusnahkan.

Dr Mahathir hanya tidak mahu melihat negara yang dibangunkan selama 22 tahun, dimusnahkan.

Selepas Dr Mahathir, Malaysia menjadi teruk.

Ini bukan isu Dr Mahathir ada stail dia, Datuk Seri Najib Razak ada stail dia. Isunya, Malaysia mesti diselamatkan.

Yang menyebabkan Malaysia mesti diselamatkan ialah kepimpinan Najib yang memusnahkan. Maka Dr Mahathir menyeru Najib diganti.

Pergantian tersebut dilakukan dengan cara dibenarkan Perlembagaan.

Adalah tidak masuk akal untuk menuduh Melayu yang paling berjasa pada bangsa dan negara ini sebagai orang yang mahu menggulingkan kerajaan.

Umno hari ini

Umno dikuasai pemimpin yang angkuh. Keangkuhan mereka bukan disebabkan kebolehan serta bakat.

Bahkan keangkuhan mereka disebabkan ada kedudukan dan jawatan dan mereka kaya raya. Dan kekayaan mereka bukan sebab mereka peniaga yang handal. Bahkan kekayaan mereka ialah kerana kebanyakannya “rent seekers” dan kaki balun duit rakyat.

3.4 juta ahli Umno dikuasai 22,000 ketua cawangan, 191 ketua bahagian dan 48 orang anggota Majlis Tertinggi.

Jadilah Umno sebuah parti kumpulan 1% oleh 1% dan untuk 1%. Ketua kumpulan 1% terpilih ini , pada waktu ini ialah Najib.

Siapa kumpulan terpilih 1% ini? Mereka terdiri daripada yang kurang bakat dan kebolehan, yang tidak kerja kuat semasa sekolah dan kolej atau universiti, mereka yang rasuah dan yang menyokong sistem rasuah. Nilai-nilai mereka ini dicerminkan dalam dasar-dasar yang dijalankan.

Maka BR1M jadi Beri Rasuah 1 Malaysia. Kesetiaan boleh dibeli dengan RM1,000 setahun. Harga kesetiaan dan sokongan hanya RM2.74 sehari. Najib hanya perlu mempedulikan kepentingan 191 ketua bahagian dan tidak perlu pun menghiraukan 22,000 ketua cawangan.

Kepada Najib, tunai itu raja. Tunjukkan duit kepadanya, semua beres.

Apabila ditanya mengenai butiran 1MDB di Parlimen, menteri kewangan ke-2 memulakan jawapan dengan berkata – objektif kita ialah menyelesaikan tanggungan dan hutang 1MDB bukan?

Benar, tapi isu lebih besar adakah kita menjadikan penjualan aset untuk mengurangkan hutang dan bebanan sebagai alasan menutup salah laku? Salah laku dan penipuanlah yang menyebabkan masalah 1MDB.

Menyelesaikan masalah dengan wang, tidak batal salah laku.

Soalan paling mudah – sejak hari pertama kerajaan kata 1MDB bukan syarikat kerajaan.

Penglibatan kerajaan hanya modal bermula sebanyak RM1 juta. Jika bukan syarikat kerajaan, mengapa kerajaan hari ini melindungi 1MDB?

Apa istimewanya mengenai 1MDB sehingga kerajaan beri surat jaminan kepada 1MDB? Biarkan sahaja 1MDB bankrap dan bersama sama kehancurannya, mendedahkan semua yang terlibat dalam skandal 1MDB.

“Clearing debts by seling whatever assets 1MDB has does not excuse and exonerate wrongdoings and wrongdoers.”

Umno bukan Umno dahulu lagi. Ia jaga kepentingan presiden dan penyokong presiden. Tempat mesyuarat MKT Umno seperti dinyatakan dalam buku perlembagaan Umno ialah Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra.

Tapi kali ini, ia diadakan di bangunan Parlimen. Ini amat menakjubkan dan menunjukkan keangkuhan parti Umno.

Ia hanya sebuah parti yang mempunyai 3.4 juta ahli, 191 ketua bahagian, 21,800 ketua cawangan dan 48 ahli majlis tertinggi. Melayu Umno hanya 20% daripada jumlah bangsa Melayu.

Di dalam Umno dikuasai kumpulan 1% teratas. Ia sebuah organisasi kumpulan 1%, oleh 1% dan untuk 1%. Ertinya, ia jaga kepentingan 1%, dikuasai 1% dan melakukan semua dasar untuk 1%.

Untuk negara, ia bukan jaga kepentingan semua orang. Dasar dan kepentingan Umno ialah kumpulan 20%, oleh 20% dan untuk 20%.

Ia tidak sama dengan kepentingan baki 80% bangsa Melayu lain. Malah ahli Umno hanya 17% daripada jumlah Melayu seramai 18 juta.

Oleh kerana Umno sudah memulakan “precedent”, maka parti politik lain agaknya akan juga boleh mengadakan mesyuarat jawatankuasa eksekutif mereka di Parlimen.

Umno memulakan “precedent” yang tidak bagus ini. Mereka tidak boleh pusing balik dan kata, hanya Umno sahaja boleh melakukan demikian. Parlimen bukan milik Umno.

Mengenai apa sebab Umno melakukan demikian sebetulnya tidak penting. Sama ada ia untuk mengasingkan penyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal atau kerana mahu menghimpunkan ahli Parlimen Umno hampir dengan dewan – tidak penting.

Yang nyata ialah Umno sebuah parti yang berada dalam keadaan yang mencemaskan. Ia jadi cemas, sebab sudah hilang keyakinan bangsa Melayu.

Ahli-ahlinya sendiri sedang memberontak mahukan presiden disingkir supaya jangan mencederakan masa depan Umno dan seterusnya menghakis kepercayaan bangsa Melayu ke atas Umno.

Nilai Melayu Umno tidak sama dengan nilai bangsa Melayu rupanya.

Semasa membentang Bajet 2016, Najib membaca suatu ayat daripada al-Quran yang menyebut supaya memberikan amanah kepada mereka yang berhak menerimanya.

Nabi Muhammad SAW menyebut apabila amanah disia-siakan, maka kiamat dan kemusnahan akan tiba. Bila ditanya, bagaimana amanah disia-siakan – baginda jawab, ia disia-siakan apabila urusan diberi kepada mereka yang bukan ahlinya.

Bangsa Melayu mesti menilai – adakah amanah kepada pemimpin Umno hari ini diberi kepada mereka yang berhak menerimanya? – sakmongkol.blogspot.com.my / TMI 26 November, 2015.

* Sakmongkol AK47 ialah nama samaran Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, ahli Parlimen Raub. | Gambar Free Malaysia Today

Tolong Komen & Share