Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil merangka permulaan 2016 dengan festival Semangat Kuning bulan depan, menyasarkan kesedaran penambahbaikan demokrasi dan mendekati kumpulan penyokong senyap mereka. – Gambar ihsan Bersih 2.0, 22 Disember, 2015.

Festival itu akan dianjurkan dengan kerjasama Dewan Himpunan China Kuala Lumpur Selangor (KLSCH) pada 6 Januari di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) sedang merangka permulaan 2016 dengan festival 5 hari Semangat Kuning bulan depan, menyasarkan kesedaran penambahbaikan demokrasi dan mendekati kumpulan “penyokong senyap” mereka.

Pengurus sekretariat pertubuhan berkenaan, Mandeep Singh berkata, aktiviti santai dirangka bersama pameran fotografi perhimpunan Bersih 4 pada Ogos lalu.

“Acara ini bagi menghargai peserta Bersih 4 dan semua penyokong, yang mungkin tidak dapat hadir atas sebab tertentu.

“Ia bertujuan sebagai acara pendidikan untuk membuka mata namun menyajikan acara santai pada masa yang sama. Malah ia juga turut terbuka bagi mereka yang berminat dengan aktiviti kreatif,” katanya.

mandeep_singh-bersih

Pengurus Sekretariat Bersih 2.0 Mandeep Singh berkata festival Semangat Kuning menyediakan pelbagai aktiviti santai dan kreatif.

Festival itu akan dianjurkan dengan kerjasama Dewan Himpunan China Kuala Lumpur Selangor (KLSCH) pada 6 Januari di Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

Demonstrasi Bersih 4 dianjurkan selama 34 jam bermula 29 Ogos hingga 30 Ogos tahun ini dengan menyaksikan ratusan ribu peserta memakai baju kuning “Bersih 4”. Kuning ialah warna rasmi Bersih yang melambangkan reformasi.

Demonstrasi di ibu negara itu menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletak jawatan susulan skandal kewangan yang melanda pentadbirannya.

Mandeep berkata, aktiviti yang dirancang untuk festival itu termasuklah sesi komedi pelakon Patrick Teoh, acara membaca puisi dan tayangan filem.

Salah satu yang akan ditayangkan adalah filem Luc Besson pada 2011, The Lady yang memaparkan watak pemimpin pro demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, dilakonkan pelakon kelahiran Ipoh, Tan Sri Michelle Yeoh.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah berkata, turut dianjurkan ialah forum dan perbincangan mengenai isu semasa, termasuklah kempen menolak Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, senarai pembahas bagaimanapun belum diputuskan, namun berkemungkinan akan mendapat penyertaan dari Indonesia dan Myanmar yang akan berkongsi tentang gerakan sivil di negara masing-masing.

Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan, apabila turut dianjurkan pertandingan mewarna selain pelancaran “Bersih Boot Camp”, perkhemahan 3 hari 2 malam untuk mereka di bawah usia 30 tahun.

“Kami mahu orang ramai mengiktiraf masa depan negara dan setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara, bukan golongan dewasa saja, tetapi juga generasi muda,” kata Maria. – The Malaysian Insider

Tolong Komen & Share