KOTA BHARU – Buat julung kalinya, 30 kumpulan kugiran masyarakat orang asli akan menyertai Pertandingan Battle Of The Band pada sambutan Hari Belia peringkat Negeri Kelantan, 5 Mei ini.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustafa berkata, malah sambutan tiga hari yang akan diadakan di Gus Musang kali ini juga membuktikan hasrat untuk membawa masyarakat orang asli selaras dengan arus pembangunan negara tercapai.

“Kita tidak pernah pinggirkan mereka dan sebelum ini kita memang tahu yang masyarakat orang asli ini terkenal dengan kumpulan kugiran.

“Maka kali ini kita bawa satu kelainan untuk jadikan ia pertandingan. Mereka terdiri daripada masyarakat orang asli kawasan setempat yang mewakili post kawasan masing-masing, Insya-ALLAH mungkin aktiviti ini boleh dibawa ke peringkat yang lebih jauh selepas ini,” katanya.

Beliau hadir merasmikan Persidangan Majlis Perundangan Belia Negara Sidang 1/2015 anjuran Jabatan Belia Negeri Kelantan dan Majlis Belia Kelantan (MBK) di Grand River View Hotel hari ini.

Makhtar berkata, pihaknya juga turut mensasarkan 20,000 belia dari seluruh negeri akan menghadiri program yang bermula jam 8.30 pagi hingga 12 malam tersebut bersesuaian dengan pelbagai program yang telah dirancangkan.

Sementara itu, dalam perkembangan yang sama, Yang Dipertua MBK, Mohd Syahbuddin Hashim turut memberitahu, seramai 700 orang asli akan membuat persembahan sewang asli temiang sekali gus direkodkan dalam Malaysia Book Of Records.

“Selain itu, akan ada juga acara mencanteng batik sepanjang 600 meter melibatkan 600 corak. Majlis penyerahan sijil tersebut akan dilakukan pada majlis penutupan program,” katanya.

Syahbuddin juga berkata, sebanyak 500 peluang pekerjaan juga turut menanti belia negeri dengan penglibatan 13 institut pengajian tinggi vokasional. – Sinar Harian

Tolong Komen & Share