Posted 2013/06/04 by Ana Ghoib in Berita Terkini
 
 

Sirul Azhar kemuka rayuan alasan terima publisiti buruk, kes bunuh Altantuya

sirul azhar dan azilah hadri pembunuh altantuya
sirul azhar dan azilah hadri pembunuh altantuya

PUTRAJAYA 3 Jun – Koperal Sirul Azhar Umar memfailkan permohonan untuk memasukkan alasan rayuan tambahan bagi mendapat perisytiharan bahawa perbicaraan terhadapnya kerana membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu merupakan satu perbicaraan yang salah serta sabitan dan hukuman mati terhadapnya wajar diketepikan.

Sirul Azhar, 38, memfailkan permohonan itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini melalui peguam-peguam yang mewakilinya, Kamarul Hisham Kamaruddin dan Hasnal Rezua Merican.

Kamarul Hisham ketika ditemui pemberita memberitahu, pihaknya masih menunggu arahan daripada Timbalan Pendaftar untuk mendapat tarikh yang sesuai sama ada mahkamah mendengar permohonan itu terlebih dahulu sebelum rayuan utama yang telah ditetapkan pada 10, 11 dan 12 Jun ini.

Menurut beliau, pihak peguam bela turut menunggu arahan mahkamah untuk perkembangan selanjutnya kerana beliau mendapat petunjuk bahawa pihak pendakwaan mungkin membantah permohonan itu.

Gambar Sirul Azhar didakwa menembak Altantuya 2 kali

Gambar Sirul Azhar didakwa menembak Altantuya 2 kali

Ujar Kamarul Hisham, notis usul tersebut difailkan tanpa memasukkan seorang lagi perayu, Cif Inspektor Azilah Hadri, 34.

Afidavit bagi menyokong permohonan itu yang diikrarkan hari ini oleh peguam, Lim Kon Keen menyatakan, Sirul Azhar telah menerima publisiti negatif (adverse publicity), tidak tepat dan mengelirukan.

Menurut afidavit itu, selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun 2008, saksi pendakwa pertama (SP1), P. Balasubramaniam yang juga seorang penyiasat persendirian telah membuat akuan bersumpah dan dimuat naik dalam pelbagai laman sesawang.

Akuan bersumpah itu mengandungi perkara-perkara yang tidak terkandung dalam keterangannya di mahkamah ketika perbicaraan berlangsung dan telah menyebabkan prejudis terhadap Sirul Azhar.

Selain itu, afidavit tersebut menyatakan, penulis blog, Raja Petra Kamarudin turut memuat naik akuan bersumpah beliau ke laman sesawang dengan mendakwa tiga lagi pihak turut hadir ketika pembunuhan Altantuya.

Menurut afidavit itu, Raja Petra selanjutnya memuat naik satu salinan dokumen pada 5 Mac 2009 yang didakwa sebagai percakapan beramaran Sirul Azhar yang kandungannya menyatakan kononnya anggota polis itu mengaku membunuh mangsa.

Sehubungan itu, afidavit tersebut menyatakan, publisiti meluas dan negatif itu mungkin mengakibatkan hakim bicara tidak berlaku adil kepada Sirul Azhar dan menyebabkan dia tidak mendapat perbicaraan yang saksama.

Publisiti itu telah menyebabkan prejudis terhadapnya apabila hakim bicara mungkin telah dipengaruhi dan mengakibatkan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 9 April 2009 tidak selamat dan harus diketepikan.azilah hadri

Sirul Azhar turut memohon perintah mahkamah agar dia dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman membunuh model berkenaan manakala perbicaraan baharu tidak perlu didengar.

Hakim Datuk Mohd. Zaki Md. Yasin dalam keputusannya mendapati Azilah dan Sirul Azhar bersalah setelah berpuas hati bahawa pembelaan mereka merupakan penafian semata-mata dan tidak boleh dipercayai serta bertujuan menyalahkan di antara satu sama lain.

Kedua-duanya didapati bersalah membunuh wanita kelahiran Ulan Bator berusia 28 tahun itu di antara pukul 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi, 20 Oktober 2006 di antara Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Klang dekat sini.

Altantuya menemui ajal setelah jasadnya berkecai diletupkan di kawasan belukar berhampiran Empangan Tasik Subang. Perbicaraan terhadap kedua-duanya berlangsung selama 160 hari.

sumber Utusan

Share on FacebookTweet about this on TwitterGoogle+Share on LinkedIn
Klik Icon Share – MRM TQ Grazie Merci Syukran

Sila Komen - Sharing is Caring


Ana Ghoib

 
Wayfarer & Wanderer | Trader Viator Avant Garder | Ana Ghoib - Al Hina


IKLAN MRM BLOGEZINE KLIK SINI HUBUNGI