Penduduk menunjukkan tulang babi yang ditemui di sepanjang empat kilometer Sungai Golok.

RANTAU PANJANG – Penduduk di Kampung Kubang Rambutan mendakwa, daging babi dijadikan umpan menangkap ikan di Sungai Golok dekat Pengkalan Rambai, sejak lima tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Telaga Mas, Che Husain Ismail berkata, bahagian babi dipotong kepada saiz lebih kecil kemudian dimasukkan ke dalam bubu untuk menangkap ikan sungai.

Menurutnya, teknik menangkap ikan baung ini, biasanya dilakukan penduduk bukan beragama Islam membabitkan rakyat Malaysia dan negara berjiran.

Walaupun ia berlaku sejak lima tahun lalu, Che Husain berkata, ia tidak mendapat perhatian umum kerana lokasinya agak terpencil dan jauh dari kawasan penempatan.

“Ia tidak dapat dikesan kerana paras air dalam, sekarang bila air dah surut barulah orang sedar betapa banyaknya tulang berselerak di beting Sungai Golok,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mohd Che Daud, 48 berkata, ekoran kejadian itu, penduduk di kampung ini tidak lagi membeli ikan sungai yang ditangkap di kawasan ini.

Namun katanya, penduduk dari mukim lain mungkin menjadi mangsa kerana membeli ikan sungai yang menggunakan daging babi sebagai umpan.

“Saya kasihan dengan penduduk di Rantau Panjang yang menggunakan air sungai ini untuk keperluan harian.

“Begitu juga dengan penduduk yang mandi dan beriadah di kawasan cetek dekat Pekan Rantau Panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lubok Stol, Ab Aziz Seman mendakwa, ada penduduk melapah daging babi untuk pasaran luar negara di kawasan itu.

Malah menurutnya, individu berkenaan mengambil langkah mudah membuang tulang sisa ke dalam sungai sedangkan sepatutnya ia ditanam.

“Selepas daging habis, tulang dibuang ke dalam sungai kemudian hanyut dalam sungai ini, sepanjang empat kilometer.

“Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan turun padang serta berusaha menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan, penduduk di Sungai Golok gempar dengan penemuan tulang haiwan berselerak di sungai berkenaan.

Tulang berkenaan cuma disedari penduduk akibat paras air cetek akibat fenomena El Nino dialami kini.

Tolong Komen & Share