KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini menyangkal dakwaan ia mengangkut dan meninggalkan gelandangan di beberapa lokasi di luar ibu kota pada bulan lalu.

Sebaliknya, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Loga Bala Mohan berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang bertanggungjawab mengetuai operasi itu dan perlu menjelaskan punca tindakan diambil terhadap gelandangan.

“Pasa 22 Mei lalu, satu Operasi Menyelamat Penagih Dadah (Ops Selamat) yang diketuai AADK Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur telah dijalankan.

“DBKL telah diminta untuk membantu dan menyediakan dua buah lori dan petugas-petugas daripada Pejabat Cawangan Bukit Bintang untuk operasi tersebut.

“Perlu tanya AADK kenapa mereka lakukan sedemikian. Di pihak DBKL kita tidak tahu punca sebenar,” katanya dalam satu sidang media di Kompleks Dayabumi hari ini.

Jelasnya, DBKL tiada sebab untuk berbuat demikian kerana terdapat Pusat Transit Gelandangan di Kuala Lumpur.

“Tidak ada sebab kita nak angkut dan tinggal mereka di tepi jalan. Ini hanya salah faham. Jangan kerana ada lori DBKL sahaja, terus nak fitnah dan salahkan DBKL.

“Kita hanya diminta untuk menyediakan lori dan petugas sahaja. DBKL tidak mempunyai bidang kuasa mengikut perundangan seperti contoh tindakan berkaitan gelandangan, penagih dadah, pengemis dan PATI,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan berkenaan supaya tidak melemparkan tuduhan melulu, sebaliknya menjalankan siasatan terlebih dahulu untuk mengetahui perkara sebenar.

Sekumpulan gelandangan mendakwa diangkut DBKL pada lewat malam sebelum ditinggalkan di beberapa tempat seperti Rawang serta Lebuhraya Karak pada 22 Mei lalu.

Datuk Bandar, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz bagaimanapun berkata beliau tidak mengetahui kejadian itu. – FMT


Beberapa orang gelandangan ditemubual eksklusif KiniTV berhubung isu penganiayaan terhadap golongan itu yang dilakukan agensi kerajaan dalam satu operasi di ibu negara dengan menghantar mereka ke lokasi jauh.

Pengarah Eksekutif SEED, Yusmar Yusof berkata pendedahan ini bukan mahu memburukkan kerajaan, tetapi mencari di mana punca kesilapan sehingga sanggup melakukan tindakan kejam terhadap golongan gelandangan.

KINITV

Tolong Komen & Share