AIRASIA menjalin perkongsian dengan V Creations, penerbit filem “Kabali” dari India yang dibintangi pelakon handalan Rajinikanth, untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi filem aksi itu.‎

Mengulas perkongsian itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia India, Amar Abrol berkata pihaknya berasa teruja untuk menjadi syarikat penerbangan rasmi filem tersebut.

“Kami gembira untuk menjadi sebahagian daripada filem itu dan membolehkan seberapa banyak penumpang kami untuk meraikan ‘demam’ “Kabali”.

“Bekerja dengan Rajinikanth dan pemilik V Creations, Kalaipuli S Thanu, merupakan satu kegembiraan bagi setiap orang dalam AirAsia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kalaipuli berterima kasih kepada AirAsia atas persetujuan untuk menjadi rakan syarikat penerbangan rasmi “Kabali”, yang akan mula ditayang pada 1 Julai ini.

“Syarikat penerbangan itu turut merancang menjalankan pelbagai aktiviti untuk peminat Rajinikanth yang menggunakan penerbangan AirAsia.

“Keterujaan “Kabali” bukan hanya dapat dirasai ketika di daratan, malah juga di udara, apabila anda ‘terbang’ dengan AirAsia,” katanya.

AirAsia Bhd membawa lebih empat juta penumpang ke dan dari India serta ketika ini menawarkan tujuh laluan penerbangan iaitu Bangaluru, Visakhapatnam, Kolkata, Kochi, Hyderabad, Chennai dan Tiruchirappalli, manakala AirAsia X menawarkan penerbangan ke dan dari New Delhi. – Bernama

Tolong Komen & Share