Babi hutan jantan yang membunuh pasangan suami isteri di Kampung Kuala Paya, Buloh Kasap, Segamat mati ditembak polis.

JOHOR BAHRU – Orang ramai dinasihatkan lebih berwaspada ketika berada di kawasan kebun atau berhampiran belukar dan kawasan hutan habitat spesies babi hutan.

Nasihat itu, susulan insiden kematian pasangan suami isteri dari Kampung Kuala Paya, Buloh Kasap, Segamat, yang disahkan maut akibat serangan seekor babi hutan.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) negeri, Hasnan Yusop berkata, pihaknya sudah menjalankan siasatan di lokasi serangan dan mendapati serangan dilakukan seekor babi hutan jantan dewasa yang turut dikenali babi tunggal.

“Hasil bedah siasat pihak hospital ke atas kedua-dua mangsa juga mendapati kecederaan pada anggota badan mereka serius akibat serangan tersebut.

“Semua pihak perlu sentiasa berhati-hati jika terserempak atau ketika melalui kawasan habitat hidupan liar ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, orang ramai juga diingatkan tidak mengacah atau menimbulkan provokasi ke atas hidupan liar kerana dibimbangi ia akan terkejut dan bertindak balas menyerang untuk mempertahankan kawasannya.

Jelasnya, antara faktor lain hidupan liar menyerang adalah akibat kecederaan disebabkan terkena jerat dan sebagainya.

“Dianggarkan lebih kurang 500 jerat dihapuskan Perhilitan Johor setiap tahun dalam setiap operasi jerat yang dijalankan,” katanya.

Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai bersama-sama menjadi ‘mata telinga’ Perhilitan supaya melaporkan kepada jabatan jika ternampak sesiapa sahaja yang menjalankan aktiviti memasang jerat.

Menurutnya, babi hutan adalah spesies yang dilindungi di bawah Akta 716 dan memerlukan lesen untuk memburu hidupan liar daripada spesies ini.

Namun katanya, di bawah Seksyen 55 Akta 716, hidupan liar spesies ini boleh dibunuh sekiranya mengancam keselamatan nyawa.

Sinar Harian semalam melaporkan sepasang suami isteri warga emas di Kampung Kuala Paya maut selepas diserang seekor babi hutan ketika sedang menoreh getah dalam kejadian kira-kira jam 1 petang, baru-baru ini.

Tolong Komen & Share