Roda Ferris tertinggi di Asia Tenggara, M101 SkyWheel bakal menjadi tarikan terkini kepada Kampung Baru –  Foto VincentKLProperty

KUALA LUMPUR — Pembangunan dua menara dengan roda Ferris tertinggi di Asia Tenggara, M101 SkyWheel bakal menjadi tarikan terkini kepada Kampung Baru, sebuah penempatan tertua di sini.

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata projek mega yang menelan belanja RM1.4 bilion berhampiran Jalan Raja Muda Abdul Aziz dijangka siap pada penghujung 2019 dan bakal menjadi mercu tanda baharu bagi Kampung Baru.

“Seperti menara berkembar Petronas, M101 SkyWheel mempunyai keunikan dan nilai tersendiri apabila ia menempatkan roda Ferris tertinggi di rantau ini yang juga dilengkapi gedung membeli belah di ‘langit’ dari tingkat 48 hingga 52.

“Ia juga akan menempatkan Hotel Planet Hollywood pertama di Asia dan di luar Amerika Syarikat, yang dijangka menarik pelawat tempatan dan asing,” katanya semasa merasmikan majlis pecah tanah projek menara itu di sini semalam.

Tengku Adnan berkata projek baharu yang dibangunkan M101 Entity Sdn Bhd itu dijangka memainkan peranan yang penting dalam menaikkan pertumbuhan ekonomi negara di dalam sektor hartanah dan pelancongan.

“M101 SkyWheel dijangka menarik sejumlah besar pelancong dari dalam dan luar negara dan ini penting kerana ia akan membantu sektor pelancongan untuk terus menyumbang kepada pendapatan Keluaran Dalam Negara Kasar,” katanya.

KLIK SINI VIDEO – M101 Skywheel

Turut hadir ialah pengasas M101 Entity Sdn Bhd Datuk Seth Yap Ting Hau dan pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Datuk Affendi Zahari.

Tengku Adnan berkata lokasi projek itu nanti juga mudah dikunjungi dengan pembangunan stesen transit laju massa (MRT) berhampiran.

“Pembangunan ini juga akan membuka peluang pekerjaan baharu yang sememangnya memberi manfaat kepada rakyat Malaysia yang akan menyaksikan peningkatan besar dalam peratusan kadar guna tenaga,” katanya. — Bernama

KLIK BACA: Selebriti media sosial ditahan melacur di PJ

Tolong Komen & Share