Projek pembinaan Taman Tugu yang dicadangkan di tengah Kuala Lumpur dengan kos RM650 juta itu terlalu tinggi dan tidak munasabah, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kata ahli parlimen Bandar Tun Razak itu, kerajaan wajar mendapatkan khidmat pihak yang benar-benar arif dan profesional bagi membangunkan projek berkenaan, selain mengadakan perbincangan terbuka dengan semua pihak berkepentingan.

Abdul Khalid yang pernah mengetuai syarikat perladangan gergasi dunia Guthrie dan Permodalan Nasional Berhad berkata pengalaman pahit akibat ketirisan, pembaziran dan salah guna dana awam wajib dijadikan teladan.

“Kesilapan lalu tidak patut dibenarkan berulang sekiranya kita serius mahu meningkatkan kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya melalui kemas kini status Facebook hari ini.

Pada 4 September lalu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merasmikan pelancaran projek Taman Tugu di atas kawasan seluas 26.7 hektar (66 ekar) di sekitar Tugu Negara. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 2020.

Daripada RM650 juta kos pembinaannya, RM500 juta disediakan oleh agensi kerajaan, Khazanah Nasional.

Kata Najib “hutan tropika mini dalam bandar raya” itu akan menjadi sebahagian daripada ikon utama Kuala Lumpur.

Najib juga menyamakan kewujudan Hyde Park di London dan Central Park di New York City dengan kewujudan Taman Tugu.

Bagaimanapun pelbagai pihak mempersoalkan kewajaran projek berkenaan.

Tak semahal mana

Selain kosnya dianggap terlalu besar dan tidak wajar kerana pada masa sama peruntukan untuk sektor lebih penting dipotong, tokoh agamawan juga memberitahu Malaysiakini, ia adalah suatu bentuk pembaziran.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli pula membangkitkan kemungkinan projek berkenaan digunakan BN sebagai wadah mengumpul dana menjelang pilihan raya umum ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada 2018.

Abdul Khalid yang pernah menjadi menteri besar Selangor berkata beliau banya menerima pertanyaan mengenai pembinaan Taman Tugu berkenaan.

Katanya, walaupun ia mempunyai nilai positif dari pelbagai sudut, amat wajar orang ramai mempersoalkan keberkesanan dan ketelusan perbelanjaan RM650 juta itu.

Untuk mendapat gambaran lebih jelas, katanya, beliau menghubungi rakan lamanya yagn berpengalaman luas – selama 30 tahun – dalam pembukaan serta pengurusan ladang di Guthrie.

Rakan lama Abdul Khalid itu dinamakan sebagai Datuk Ali Ahmad.

Menurut Ali, kata Abdul Khalid, anggaran kos tertinggi untuk kerja-kerja pembersihan dan perataan tanah, penanaman dan penjagaan pokok kelapa sawit (dari tunas hingga penuaian) adalah kira-kira RM21 juta setiap 1,000 hektar, atau hanya RM21,000 bagi setiap hektar.

“Justeru, sekiranya sedikit ekstrapolasi dilakukan, dianggarkan kos keseluruhan pembinaan taman hutan hujan sepatutnya tidaklah semahal mana, lebih-lebih lagi apabila kos tanah langsung tidak wujud, diberi “percuma” oleh kerajaan pusat,” katanya.

Justeru katanya tidaklah menghairankan jika ramai orang musykil dengan metodologi penilaian yang diguna pakai oleh Khazanah Nasional dan Perbendaharaan Negara serta Unit Perancangan Ekonomi sehingga mewajarkan nilai yang begitu tinggi. – Malaysiakini

KLIK BACA: Orang politik tak boleh diberi kuasa Akta MKN, kata Tuan Ibrahim

KLIK BACA: Khairuddin failkan afidavit baru, sertakan klip ‘AG menari’

KLIK BACA: Kenapa Mahathir bantah Akta MKN Najib?

KLIK BACA: Siapa gadis selebriti media sosial ditahan didakwa jual diri RM30 ribu?

KLIK BACA: Who is Malaysian Official 1 – Tun Dr Mahathir

KLIK BACA: Umpama tersarong stokin busuk

KLIK VIDEO: MAHATHIR BERITAHU NAJIB BUKAN SUSAH LETAK JAWATAN

Tolong Komen & Share