Berhubung isu 1MDB dan Akta MKN yang diketengahkan oleh Tun Dr Mahathir mewakili rakyat yang hanya boleh berharap, menanti dan melihat apa yang Raja-Raja mereka insyaAllah dapat lakukan dalam sidang minggu hadapan

oleh Datuk A Kadir Jasin

PERSIDANGAN ke-242 Majlis Raja-Raja akan diadakan minggu hadapan antara 11 hingga 13 Oktober. Itu yang saya baca dalam laman web rasmi Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu.

Deklarasi Rakyat (dengan 1.2 juta penandatangan) merapat sembah kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia.

Dr Mahatahir Mohamad, sebagai wakil Deklarasi Rakyat, telah menghadap dan menyerahkan deklarasi itu kepada Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah, di Istana Anak Bukit, Alor Star pada 15 September lalu.

Beliau juga telah mengutus surat kepada semua Raja-Raja Melayu mengenai hal yang sama.

Sudah dua persidangan berturut, kemusykilan rakyat jelata mengenai pemerintahan negara telah dibincang dan dihebahkan kepada umum oleh Majlis Raja-Raja.

Dalam mesyuarat ke-239 pada bulan Oktober tahun lalu, Raja-Raja talah mengeluarkan kenyataan akhbar memerintahkan kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Apa yang berlaku?

Siasatan 1MDB diberhentikan separuh jalan. Tidak ada siapa dibabitkan apatah lagi dikenakan tindakan. Keputusan siasatan oleh Ketua Juruaudit Negara diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Hutang 1MDB, menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), meningkat daripada RM42 bilion kepada RM50 bilion pada bulan Januari tahun ini. Nama Malaysia busuk di seluruh dunia.

Kemudian, dalam persidangan ke-240 pada bulan Februari tahun ini, Majlis Raja-Raja berpendapat sesetengah peruntukan Akta Majlis Keselamatan Negara wajar diperhalus (refined).

Raja-Raja menyatakan pendapat itu setelah mendengar taklimat oleh Peguam Negara Mohamed Apandi Ali.

Kenyataan akhbar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Syed Danial Syed Ahmad, berkata Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, sebagai pengerusi mesyuarat akan menulis surat kepada Perdana Menteri mengenai hal itu.

Apa yang berlaku?

Sepanjang pengetahuan kita, tidak ada penghalusan (refinement) dilakukan ke atas akta itu. Sebaliknya ia dikuatkuasakan menjadi undang-undang pada 1 Ogos lalu tanpa persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Persoalannya apakah kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri, Najib Razak, berkuasa mutlak dan kebal?

Dan apakah yang boleh diharapkan oleh rakyat kepada Raja-Raja mereka?

Mereka hanya boleh menanti dan melihat apa yang Raja-Raja mereka akan lakukan dalam sidang minggu hadapan?

Kata Tun Sri Lanang:

“…Raja-Raja itu umpama api,
segala Perdana Menteri umpama kayu,
kerana api itu jikalau tiada kayu,
tiada akan nyala.

Rakyat itu umpama akar,
raja itu umpama pohonnya,
jikalau tiada akar
nescaya pohon tidak dapat berdiri.

Demikian Raja-Raja itu
dengan segala rakyatnya..”


KLIK BACA: Kenapa PAU 2016 tertutup hanya untuk media arus perdana?

KLIK BACA: Tun Mahathir hantar surat rayuan kepada kesemua raja Melayu

KLIK VIDEO: Budak Syria menangis, ‘apa aku dah buat pada kau Bashar?’

TERKINI: Kapal Zaytouna ditawan Israel: Wahai pemimpin dengarlah saranan saya… [rakan Dr Fauziah]

KLIK BACA: Hadis Qudsi Peringatan Untuk Pejuang Islam Di Syria

KENYATAAN MEDIA: “Rafizi yakin Najib tidak akan berani isytihar harta secara terperinci”

TERBARU: Mana Lebih Bahaya, Cina DAP atau Cina Jho Low? – Datuk A Kadir Jasin

Tolong Komen & Share