Posted 2013/06/08 by Ana Ghoib in Berita Terkini
 
 

Perhimpunan 15 Jun Padang Merbok Tiada Kebenaran – Tengku Adnan

Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor

KUALA LUMPUR, 8 Jun — Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (gambar) hari ini menegaskan tiada kebenaran akan diberikan kepada pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang merancang untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merbok pada 15 Jun ini.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata tidak berniat menghalang pembangkang mengadakan perhimpunan tetapi lokasi tidak sesuai memandangkan padang tersebut terletak ditempat terbuka, sebaliknya menasihati pembangkang mengadakan ditempat tertutup di stadium atau lain-lain.

“Kita benarkan mereka untuk adakan perhimpunan di tempat yang tertutup, saya dimaklumkan oleh Datuk Bandar mereka juga minta memohon untuk menggunakan Padang Merbok.

“Tapi bagi saya Padang Merbok tempat terbuka… di tempat terbuka kita tidak akan beri, kerana kita tahu tentang undang-undang dan patuh,” kata Tengku Adnan semasa ditemui selepas majlis bersama pelanggan di KL Sentral di sini.

Tengku Adnan kemudiaan mengecam sikap pemimpin pembangkang yang dilihatnya sebagai mengajar rakyat supaya tidak mematuhi undang-undang dengan bertindak sesuka hati walaupun perkara tersebut menyalahi undang-undang.

“Saya nak menasihatkan rakyat bahawa kita hidup dalam keadaan dimana ada ‘law and order’.

Pembangkang ini nak menyemai satu keadaan kepada rakyat kita ni hidup dalam rimba, kita tak ikut hukum rimba,” tegas setiausaha agung Umno itu lagi.

Tengku Adnan juga mahu pembangkang menerima kekalahan pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) lalu dan memfokuskan tanggungjawab mereka terhadap rakyat yang telah memilih mereka.

“Kalau kamu dah kalah, mengaku hakikat kalah sajalah,” katanya lagi.

Baru-baru ini PR menegaskan mereka akan tetap meneruskan perhimpunan di Padang Merbok, Petaling Jaya walaupun pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba melengah-lengahkan himpunan tersebut dengan tidak memberi kebenaran untuk menggunakan Padang Merbok.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata tindakan polis dan DBKL itu bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan telah menerima notis pemberitahuan untuk mengadakan Perhimpunan Black 505 Kuala Lumpur daripada penganjur pada 15 Jun ini, tetapi notis tersebut “tidak lengkap”.

Menurut Khalid, penganjur gagal mendapatkan kebenaran daripada pengurusan Padang Merbok tempat yang dimaksudkan mereka, iaitu DBKL.

“Mereka menghantar notis itu kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, malangnya notis itu tidak lengkap.

“Menurut ketetapan PAA, penganjur yang memberi notis kepada pihak polis juga perlu mendapatkan kebenaran daripada pihak pengurusan tempat yang mereka mahu mengadakan perhimpunan,” kata Khalid yang dipetik dalam MStar.

Selepas berakhir keputusan pilihan raya 5 Mei lalu, pembangkang PR telah mengadakan jelajah himpunan di seluruh negara bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan pilihan raya yang didakwa mereka penuh penipuan dan tidak adil, ribuan orang ramai hadir bagi memberikan sokongan dalam setiap perhimpunan yang mereka anjurkan.

Perhimpunan terbaru yang selesai diadakan adalah di Dataran Petaling Jaya pada 25 Mei lalu yang menyaksikan ribuan orang ramai membanjiri padang dengan memakai baju hitam sebagai tanda protes ke atas keputusan pilihan raya lalu.

Perhimpunan membantah keputusan pilihan raya PR dikenali sebagai “Black 505″, ia diwujudkan sebagai gerakan untuk membantah dakwaan penipuan pilihan raya berleluasa pada pilihan raya umum 5 Mei yang menyaksikan gabungan Barisan Nasional (BN) terus mengekalkan kuasa walaupun kehilangan undi popular.

 

Sumber The Malaysian Insider

Share on FacebookTweet about this on TwitterGoogle+Share on LinkedIn
KLIK ICON SHARE – MRM TQ Grazie Merci Syukran

Sharing is Caring


Ana Ghoib

 
Wayfarer & Wanderer | Trader Viator Avant Garder | Ana Ghoib - Al Hina


IKLAN MRM BLOGEZINE KLIK SINI HUBUNGI