SYDNEY, 15 Dis — “Sosej demokrasi” dipilih sebagai “perkataan bagi tahun 2016” di Australia selepas istilah itu menjadi popular ketika pilihan raya umum Julai lalu.

“Democracy sausage” digunakan untuk menggambarkan tradisi memanggang sosej untuk pengundi lapar yang sedang beratur di pusat pengundian, lapor Reuters hari ini.

Pusat Kamus Kebangsaan Australia berkata “sosej demokrasi” menjadi perkataan pilihan tahun ini setelah ia diguna dengan meluas di media sosial ketika pilihan raya 2 Julai lalu.

“Sosej demokrasi, kami fikir, yang terbaik muncul daripada pilihan raya umum itu, kami anggap perkataan ini telah menang berdasarkan undi popular,” kata Julia Robinson, editor Australian National Dictionary.

Kamus itu menakrifkan demokrasi sosej sebagai “sosej panggang yang dihidangkan bersama roti di pusat pusat pengundian semasa hari membuang undi.”

Ungkapan itu mengalahkan perkataan baru “shoey” iaitu perbuatan meminum alkohol dalam kasut yang dipopularkan pelumba Formula 1 Australia, Daniel Ricciardo.

Perkataan “smashed avo”, singkatan menu sarapan avokado lenyek yang dimakan bersama roti bakar, juga tewas di bawah “sosej demokrasi”.

“Sosej demokrasi” akan dimasukkan dalam kamus kebangsaan edisi baru, kali terakhir diterbitkan pada Ogos dan mengandungi 16,000 perkataan unik berasal dari negara tersebut.

Tolong Komen & Share