oleh A Kadir Jasin

ALMADULILLAH, satu lagi kepincangan korporat membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berjaya didedahkan secara meluas oleh penggiat media sosial.

Di masa yang sama, penggiat media sosial terus dikenakan tindakan undang-undang sama ada kerana kesilapan mereka sendiri atau kerana mereka menjolok sarang tebuan.

Pendedahan kali ini tercetus berikutan penyiaran sebuah gambar beberapa orang lelaki dan seorang perempuan [foto: hisap cerut] yang didakwa terdiri daripada eksekutif kanan Felda Global Ventures Bhd (FGV).

Gambar itu kemudiannya menjadi viral (merebak) dan mencetuskan perbahasan hangat. Ia mencapai kemuncak apabila tersebar berita mengatakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menjual semua saham FGV yang dimilikinya.

Berita itu khabarnya berpunca daripada memorandum dalaman KWSP. Ia turut menyatakan yang pinjamannya kepada FGV tidak mengalami sebarang masalah pembayaran balik.

Pendedahan KWSP itu menyebabkan saham FGV yang telah pun tenat di Bursa Malaysia, menjadi semakin nazak.

Dalam masa dua hari harga sahamnya jatuh hampir enam peratus kepada RM1.53.

Ini adalah antara tahap paling rendah dideritai FGV sejak disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun, 2012.

Pada kadar harga RM1.53 itu, nilai saham FGV telah merudum tiga kali ganda daripada harga tawaran awam permulaan (IPO) RM4.55 pada tahun 2012.

Harga saham GFV merudum

Daripada keuntungan sebanyak RM980 juta pada tahun 2013, pencapaiannya merosot kepada RM306 juta (2014), RM117 juta (2015) dan rugi RM98 juta sehingga suku ketiga tahun ini.

Margin keuntungan merosot daripada 7.8 peratus pada tahun 2013 kepada 1.9 peratus (2014), 0.7 peratus (2015) dan totak 0.8 peratus sehingga suku ketiga tahun ini.

Dividen yang memuncak pada kadar 16 sen sesaham pada tahun 2013 merudum kepada hanya empar sen tahun lalu.

Amaran Jadi Kenyataan

FGV adalah syarikat GLC kedua yang diilhamkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, yang dalam krisis. Yang pertama ialah 1MDB.

Seperti 1MDB, masalah FGV bermula dari saat ia ditubuhkan kerana nawaitunya tidak lurus dan tidak telus. Niatnya lebih berupa pengisian ego Najib sebagai Perdana Menteri Transformasi dan mencari pulangan jangka pendek menjelang Pilihan Raya Umum 2013.

Kalau kita masih ingat, banyak pihak, termasuk Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, telah memberi amaran keras mengenai ancaman penswastaan aset peneroka dalam bentuk FGV.

Tetapi bagi Najib dan pihak yang bersekutu dengan beliau, kedua-dua matlamat itu tercapai. Ego Najib terangsang kerana IPO itu diuar-uarkan berjaya, FGV menjadi syarikat perladangan terbesar dunia dari aspek keluasan dan banyak duit diperoleh untuk PRU 2013.

Najib mentor Felda dan pengasas FGV

Saham-saham FGV mendapat lebih langganan hampir tujuh kali ganda tinggi dan harga pembukaan naik sehingga RM5.46 apabila mula didagangkan di Bursa Malaysia. Sesiapa yang menjual ketika itu mendapat keuntungan lumayan.

Tetapi, sama seperti mana-mana juga urus niaga yang tidak berasaskan fundamental tulen, FGV tidak lestari dan tidak dapat bertahan lama. Dalam masa yang singkat, akibat pengambil keuntungan ke atas saham-sahamnya dan prestasi perniagaan yang lemah, harga sahamnya merudum.

Penyakit Korporat GLC, GLIC

Namun, yang lebih menggerunkan adalah penyakit korporat yang sedang dideritai oleh GLC dan GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan) mungkin tidak terhad kepada 1MDB dan FGV sahaja. Banyak lagi syarikat lain dalam kategori ini yang perlu dihalusi, khususnya GLIC yang memberi pinjaman kepada 1MDB dan FGV.

Seperti telah kita ketahui, banyak GLIC terlibat memberi pinjaman kepada 1MDB dan FGV, di samping dikerah menjadi pelabur utama (cornerstone investor) dalam IPO syarikat-syarikat GLC dan syarikat swasta yang disayangi kerajaan.

Kita juga tahu banyak wang KWSP dan Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) telah dipinjamkan kepada projek-projek kesayangan (pet projects) Najib macam 1MDB, FGV dan inisiatif pembiayaan persendirian (PFI).

KWAP yang berupa tabung pencen kakitangan awam telah memberi pinjaman RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd manakala skim pencen swasta (KWSP) telah meminjamkan RM25.29 bilion kepada Pembinaan PFI Sdn Bhd. SRC dan Pembinaan PFI adalah milik Kementerian Kewangan.

Itu belum termasuk pinjaman, pelaburan cornerstone dan projek-projek berkaitan pembiayaan PRU yang mungkin telah atau sedang “dipaksakan” ke atas Perbadanan Nasional Berhad (PNB), Tabung Haji, Lembaga Tabung Angkatan Tentera(LTAT) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Kesimpulannya, apa yang telah kita ketahui mengenai 1MDB dan FGV hanyalah sebahagian kecil sahaja daripada kemelut korporat yang sedang berlaku di negara kita akibat urus tadbir yang menyeleweng serta campur tangan songsang oleh pentadbiran Najib.

Hal ini menjadi semakin buruk akibat kelembapan ekonomi dunia dan domestik yang berpanjangan serta tidak adanya petunjuk positif daripada kerajaan mengenai bagaimana kemelut yang semakin meruncing itu ditangani.

Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin adalah tokoh wartawan negara. Artikel ini pertama kali disiarkan di blog beliau The Scribe – A Kadir Jasin. | Foto Free Malaysia Today

DIKEMASKINIJamal mohon maaf kepada Siti Nurhaliza, tapi…

TERKINI: Tun Mahathir penasihat kerajaan ‘selamatkan’ dari masalah kewangan jika pembangkang menang PRU

KLIK BACA: Ambil BR1M itu rasuah, salah di sisi undang-undang – Mahathir

KLIK BACA: Najib tanggung beban, pengurusan 1MDB yang ‘mangkuk hayun’, kata Menteri Kewangan II

*Disclaimers: Articles are property of the writer or publication as mentioned, cited or linked to. As news 'curator & aggregator' we do not represent the articles republish from any third party content provider.

Tolong Komen & Share