RIYADH, 30 Dis — Seorang lelaki Arab Saudi dipenjara setahun dan denda 30,000 riyal (RM35,820) selepas cuba mengubah tradisi “lelaki mengawal wanita” negara itu.

Sebuah mahkamah di Dammam, timur negara itu, mendapati lelaki berkenaan menjalankan kempen bagi mengakhiri kawalan terhadap wanita, lapor AFP yang memetik portal Okaz.

Lelaki berkenaan dilaporkan menjalankan kempen menerusi Twitter dan juga poster yang ditampal di tempat awam.

Portal itu melaporkan lelaki tersebut ditahan ketika sedang menampal poster di masjid-masjid di kawasan Al-Hasa.

Siasatan polis mendapati lelaki berkenaan juga dalang di sebalik kempen yang dijalankan di internet.

Lelaki tersebut mengakui “kempen kesedaran” itu dilancarkan selepas mendapati “saudara mara wanitanya teraniaya di tangan keluarga mereka”, lapor Okaz lagi.

Petisyen berkenaan sudah ditandatangani ribuan warga Arab Saudi pada September susulan kempen itu menerusi Twitter, kata mahkamah.

Arab Saudi merupakan negara yang paling ketat menyekat kebebasan wanita apabila kaum hawa dilarang memandu kenderaan.

Wanita juga perlu mendapat kebenaran lelaki untuk melanjutkan pelajaran, melancong dan aktiviti lain. – Bernama | Foto Clarion Project

Tolong Komen & Share