Kapal terbakar beberapa minit sebaik belayar dari dermaga Kali Adem untuk bertolak ke Pulau Tidung. — Foto Reuters

JAKARTA, 1 Jan — Percutian lebih 200 orang ke Kepulauan Seribu di sini hari ini bagi menyambut ketibaan tahun baharu berakhir dengan tragedi apabila kapal yang mereka naiki terbakar di tengah laut.

Dalam kejadian pagi tadi, lebih 20 orang disahkan maut manakala puluhan lagi dilaporkan hilang apabila kapal pelancongan Zahro Express terbakar di perairan Muara Angke di sini.

Pengarah Polis Air Metro Jaya Hero Hendrianto Bachtiar dalam sidang medianya berkata, kapal itu membawa lebih 200 penumpang untuk melancong ke Pulau Tidung di Kepulauan Seribu.

Setakat ini pihak berkuasa mengesahkan menemui 23 penumpang yang maut akibat terbakar dalam bangkai kapal itu manakala mereka yang hilang dipercayai kerana terjun ke air untuk menyelamatkan diri.

Kapal itu berlepas dari pelabuhan Kali Adem di Jakarta Utara pada pukul 8.50 pagi dan beberapa minit selepas itu dilaporkan terbakar ketika berada di kawasan peraiaran Muara Angke, belum jauh dari pelabuhan tersebut.

Setakat ini jumlah sebenar penumpang kapal itu belum dapat disahkan oleh pengurusan syarikat tetapi pihak berkuasa percaya kapal itu telah membawa penumpang melebihi had.

Menurut laporan televisyen BeritaSatu, setakat ini sebanyak 194 penumpang disahkan selamat, 23 orang ditemui mati, 17 cedera dan 17 lagi dilaporkan hilang oleh waris masing-masing.

Mereka yang cedera telah dibawa ke hospital berdekatan manakala tiga daripada 23 mayat itu telah dikenalpasti.

Polis juga telah mengambil keterangan dari tiga orang anak kapal Zahro Express dan siasatan awal mendapati kapten kapal dan awak-awaknya telah menyelamatkan diri dengan terjun ke laut.

Ketua Balai Bomba Kepulauan Seribu Edi Rudiyanto berkata, menurut keterangan seorang saksi bernama Haris, kapal tersebut terbakar beberapa minit sebaik belayar dari dermaga Kali Adem untuk bertolak ke Pulau Tidung.

Katanya, sebaik berlaku kebakaran pada bahagian enjin, anak-anak kapal dikatakan terus terjun ke laut tanpa memaklumkan kepada para penumpang.

Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati para penumpang hanya menyedari berlaku kebakaran kapal setelah mereka terasa bahang dan kemudian ternampak api yang sedang marak ke badan kapal.

Edi berkata para penumpang kemudiannya panik apabila mengetahui kapal itu sedang dijilat api dan mereka terus terjun ke laut.

Katanya, daripada mereka yang terjun ke laut itu ada yang selamat dan ada yang hilang manakala yang maut dipercayai tidak sempat melarikan diri untuk keluar dari kapal itu.

Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan sehingga petang ini. — Bernama

TERBARU: Harussani salah tegur, ramai tak faham perjuangan Tun Mahathir

KLIK BACA: Wang haji perlu dari hasil yang halal, kata Sheikh Marwazi Dziyauddin 

KLIK BACA: Ezam gelar 2 akhbar M’sia sebagai pembela pencuri

Tolong Komen & Share