Omar Hashim memegang gambar kecil isterinya ketika merakam kenangan indah persandingan anaknya Nurul Hanim.

IPOH, 1 Jan — Walau isterinya selama 36 tahun sudah dijemput Ilahi, cinta sejati pakcik ini diabadikan di atas pelamin anak bongsunya baru-baru ini.

Gelagat luar biasa Omar Hashim, 67, menyentuh hati ramai pengguna internet sehingga foto-fotonya di atas pelamin Nurul Hanim dikongsi lebih 16,000 kali sejak Sabtu lapor portal The Malay Mail.

Foto-foto itu dikongsikan oleh Mohd Hafizan Ilias, jurugambar majlis perkahwinan tersebut di Batu Kurau, Perak, agar kisah cinta sejati warga emas menjadi teladan.

“Saya merasakan momen ini amat indah dan ingin berkongsi agar ada di luar sana yang tahu tentang wujudnya cinta, kasih dan ikatan kekeluargaan yang boleh kita jadikan teladan agar menjadi lebih baik daripada semalam, insya Allah,” coretnya di Facebook.

“Diceritakan juga setiap hari beliau ke pusara [arwah isteri], membawa bunga untuk cinta hatinya, yang telah pergi hampir empat tahun. Allahu, besarnya cinta pakcik Omar kepada arwah isterinya.”

Di laman sosial tersebut, Mohd Hafizan juga berkongsi coretan ringkas si suami kepada isterinya kesayangannya: “bercerai kasih talak tiada, kau pergi sebelum aku bersedia melepaskannya.”

Menjelaskan kenapa foto itu dibawa ke atas pelamin kepada Harian Metro hari ini, Omar berkata spontan sahaja ingatannya kembali kepada isteri Ramlah Yusof kerana gambar arwah ke mana saja.

“Saya sebak dia tidak dapat bersama menyaksikan majlis bersejarah anak bongsu kami, sebab itu saya keluarkan gambarnya [isteri] untuk merakamkan gambar kenangan kami tiga beranak sejurus selepas anak dinikahkan,” katanya.

Beliau tidak menduga gelagatnya merakam rasa cinta terhadap isteri, yang meninggal dunia pada Mac 2012 akibat barah, menjadi perhatian ramai apabila disebar di media sosial.

Tolong Komen & Share