Arca Puteri Diana akan didirikan di kawasan awam kediamannya dulu Istana Kensington — Foto AFP

LONDON, 30 Jan — Putera William dan Putera Harry akan membina tugu Puteri Diana sebagai tanda ingatan pada ibu mereka yang mati dalam kemalangan di Paris 20 tahun lepas.

Arca bekas puteri Wales akan didirikan di taman awam Istana Kensington yang kini menjadi kediaman William dan isterinya Kate bersama anak mereka George dan Charlotte, lapor AFP.

“Sudah 20 tahun ibu pergi dan sudah tiba masanya mengiktiraf dampak positif yang ditinggalkan beliau di United Kingdom dan seluruh dunia dengan tugu ini,” kata William dan Harry dalam satu kenyataan.

“Ibu kami menyentuh hati ramai orang. Kami berharap tugu tersebut akan membantu mereka yang melawat Istana Kensington mengenang kembali kehidupan dan legasi Puteri Diana.”

Tugu ini, keempat dibina untuk memperingati Puteri Diana di UK, akan dibina di Hyde Park, berdekatan kawasan air pancut peringatan wanita tersebut, yang dikenali juga Lady Di.

Puteri Diana, yang sudah bercerai dengan suaminya Putera Charles waktu itu, mati dalam nahas kereta pada 31 Ogos 1997 bersama teman lelakinya Dodi Fayed.

Hubungannya dengan anak hartawan Mohamed Al-Fayed membuka spekulasi beliau telah atau bakal menganut Islam.

Tolong Komen & Share