PARIT: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan polis selepas mendakwa kenderaan yang dipandunya mengandungi bom di simpang lampu isyarat Bota Kiri, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata lelaki berkenaan ditahan ketika cuba melarikan diri selepas memaklumkan perkara tersebut kepada seorang anggota polis yang bertugas pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) di sekitar kawasan itu.

“Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) masih lagi menjalankan siasatan terhadap dakwaan lelaki yang memandu kereta jenis Mercedes-Benz itu… mereka ketika ini sedang menjalankan pemeriksaan terhadap kenderaan berkenaan.

“Lelaki itu pula telah ditahan dan siasatan sedang dijalankan bagi mengetahui motif sebenar dakwaan tersebut,” katanya.

Menurutnya beliau akan mengeluarkan laporan lengkap sebaik sahaja siasatan dan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan selesai.

Sementara itu, orang ramai yang menyaksikan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) di Simpang Empat Bota Kiri gempar apabila mengetahui mengenai dakwaan bom di dalam kenderaan jenis Mercedes-Benz itu.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun tersebut memberhentikan keretanya di persimpangan lampu isyarat sebelum keluar dari kenderaan dan memaklumkan perkara itu kepada anggota polis yang berada di situ.

Difahamkan, peserta perlumbaan LTdL dari Seri Manjung ke Cameron Highlands baru sahaja selesai melalui kawasan tersebut.

Tolong Komen & Share