Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie pada sidang media pengumuman Konsert Wings & Superfriends – Belenggu Irama di Istana Budaya

Katalah apa pun, Wings tetap dengan pendirian mahu meneruskan hasrat yang terpendam lebih setahun demi membantu Yazid Ahmad tanpa niat mengeruhkan hubungan dengan anggota kumpulan Search.

Bagi vokalis Datuk Ahmad Azhar Othman atau Awie, tidak salah sekiranya dia dan dua lagi anggota kumpulan rock itu tampil ke depan bagi memperjuangkan nasib Yazid yang tidak lagi sehaluan dengan Search.

Menurutnya, langsung tidak terlintas di fikiran untuk menyakitkan hati anggota lain Search apatah lagi mencampuri urusan dalaman tiga anggota kumpulan berkenaan dan pemain dram mereka.

“Kami Wings memang berminat untuk membantu, niat kami tidak sama dengan mereka (Search). Waktu mereka berbalah, saya ibarat berada di tengah-tengah antara pihak yang di sana dan Yazid.

“Masa amat suntuk, kalau boleh saya tidak mahu timbul perkara boleh menjejaskan (hubungan) malah berharap acara dapat berjalan lancar dan tenang saja agar hasrat di hati dapat disampaikan.

“Pada masa akan datang, kalau hendak terasa itu bukanlah masalah kita kerana kalau hendak membantu, sebagai seorang sahabat mereka boleh melakukannya pada bila-bila masa bukan di sini saja,” katanya.

Search dan Yazid berseteru berhubung isu pembahagian wang menjelang Konsert 35 tahun yang sepatutnya diadakan di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos tahun lalu.

Awie, 48, ditemui pada sidang media pengumuman Konsert Wings & Superfriends – Belenggu Irama di Istana Budaya kelmarin.

Katanya, selain mengangkat Yazid sebagai ikon dalam konsert berkenaan, ia juga bertujuan untuk mengumpul dana bagi meringankan beban hidup dialami rocker veteran itu serta kebajikan anak seni yang senasib dengannya.

Antara nama-nama yang akan memeriahkan konsert dijangka berlangsung dari 6 hingga 9 April di Istana Budaya itu nanti adalah Datuk Hattan, Datuk M Nasir, Datuk Nash, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ramli Sarip, Ito, Syamel AF, Maya Karin, Beto Kusyairy, Liza Hanim, Haiza, Sahara Yaakob dan ramai lagi.

Kata Awie, Wings & Superfriends menjanjikan kelainan kepada penonton kerana ia bukan didatangkan dalam bentuk hiburan semata-mata.

Pada Awie, isu kebajikan anak seni yang tidak berkesudahan membuatkannya tampil menggalas tanggungjawab untuk mencari jalan penyelesaian yang dirasakan terbaik.

Dengan dana dikumpul itu nanti, Awie berharap impiannya memperbaiki taraf anak seni di negara ini boleh tercapai.

“Banyak permasalahan belum selesai terutama ke mana hala tuju anak seni selepas 30 tahun.

“Artis namanya saja gah, tetapi kos untuk berlakon atau menyanyi itu memerlukan pengeluaran lebih banyak wang daripada masuk.

“Dengan persembahan di Istana Budaya ini, mungkin boleh meringankan mana-mana beban rakan artis yang memerlukan kerana kita tidak tahu nasib sama juga boleh menimpa diri sendiri,” katanya. – Malaysiakini

Tolong Komen & Share