oleh A Kadir Jasin

BARU-baru ini seorang penggiat Facebook sindir saya. Dia seolah-olah kata saya tak faham ekonomi atau sengaja burukkan kerajaan dengan menulis berkenaan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat jelata.

Saya akui saya bukanlah pakar ekonomi yang ada bertimbun-timbun ijazah. Saya tak mengaji universiti pun. Masa saya dulu ada sebuah saja universiti di Malaysia iaitu University of Malaya. Nama pun dalam bahasa orang putih.

Tapi saya belajar prinsip ekonomi sejak tingkatan enam tahun 1967 dan mulai 1972 saya jadi wartawan ekonomi di Bernama, kemudian di Business Times. Jadi taklah bodoh sangat hal ekonomi.

Saya yakin sebahagian besar pembaca setuju dengan saya pasal mereka sendiri rasa kesempitan hidup sejak tiga, empat tahun kebelakangan ini.

Peserta Facebook itu seolah-olah kata saya bohong. Dia kata ekonomi kita tak ada masalah dan ada rakyat jelata yang jadi tambah kaya.

Dia bagi contoh hasil kajian majalah perdagangan Amerika Forbes yang pada 1 Mac lalu kata, ada hartawan Malaysia yang jadi lebih kaya tahun ini.

Betul. Memang Forbes kata macam itu. Tapi yang penggiat Facebook itu tak sebut ialah Forbes sendiri mengaku yang kekayaan hartawan kita itu naik dalam suasana ekonomi yang sedang hadapi bermacam rintangan.

Kata Forbes: “Sektor Perniagaan Malaysia menghadapi banyak rintangan. Bulan Januari ringgit jatuh kepada RM4.50 sedolar, paras paling rendah sejak krisis kewangan (Asia) 1997-98. Dan tuduhan bahawa Perdana Menteri Malaysia terlibat dengan skandal antarabangsa berkaitan 1MDB terus menggugat keyakinan pelabur. Tapi hartawan dalam senarai tahun ini tidak menghiraukan hal itu….”

Maksudnya, Forbes akui ekonomi kita alami banyak halangan. Lagipun kalau kita kenal 50 hartawan dalam senarai Forbes itu kita tak akan terkejut dengan kejayaan mereka.

Ramai daripada mereka berniaga bukan saja di Malaysia tetapi di merata dunia dan dalam bidang yang tidak mudah dilanda kemerosotan ekonomi macam judi, arak, telekomunikasi dan bank. Jadi, perniagaan mereka tak terjejas terlalu teruk oleh kejatuhan kadar tukaran ringgit atau oleh kemerosotan permintaan dalam negara.

Sebenarnya inilah salah satu masalah besar ekonomi Malaysia yang cuba kita atasi sekian lama tapi tak begitu berjaya, iaitu jurang kekayaan di antara golongan miskin yang ramai dengan golongan kaya yang sedikit.

Orang paling kaya dalam senarai Forbes ialah ‘raja gula’ Robert Kuok Hock Nien. Harta dia dianggar bernilai RM51.3 bilion sedangkan pendapatan kasar isi rumah bagi 40 peratus rakyat jelata paling bawah hanyalah RM2,500 sebulan.

Jadi, peningkatan kekayaan 50 hartawan itu tak bermakna ekonomi kita kukuh dan rakyat jelata hidup senang-lenang.

Banyak kajian termasuk kajian definitif oleh ahli ekonomi dan penyelidik Dr Muhammed Abdul Khalid dapati, jurang pendapatan di antara rakyat jelata miskin dengan kaya dan di antara bandar dengan luar bandar serta di antara kaum tambah meluas.

Kejayaan kita kurangkan kemiskinan dan sempitkan jurang pendapatan hasil pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) mula terbantut bila krisis kewangan Asia berlaku pada tahun 1997/98.

Nisbah pendapatan luar bandar dan bandar sejak 2009 lebih teruk daripada keadaan 20 tahun dalu. Maksudnya sudah lebih tujuh tahun jurang di antara bandar dengan luar bandar dan di antara kaum tak catat sebarang kemajuan.

Keadaan jadi tambah buruk akibat pertumbuhan ekonomi yang lembap, kejatuhan nilai ringgit, pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST), penghapusan subsidi dan kewangan kerajaan yang lemah.

Hartawan dalam senarai Forbes tak rasa apa-apa bila harga ikan kembung naik melepasi RM20 sekilogram. Mereka tak tahu pun. Ikan kembung bukan makanan mereka. Tapi harga ikan, minyak, gula dan tambang bas sekolah yang naik jadi beban besar kepada rakyat jelata.

Jadi, sangatlah tak adil dan tak masuk akal kita buat kesimpulan kerana kekayaan 50 hartawan itu naik maka segala-galanya baik mengenai ekonomi negara kita.

Orang kaya tak pernah susah. Bukan yang berniaga macam Kuok (Shangri-la), Ananda Krishman (Maxis) dan Lim Kok Thay (Genting) saja tak susah, malah yang jadi kaya-raya dengan cara rasuah dan komisen pun hidup senang-lenang juga.

Yang susah rakyat jelata; profesor dan pensyarah yang kena tamat kontrak, setengah juta lebih pekerja yang menganggur, siswazah yang tak ada kerja, penoreh getah dan peneroka Felda yang kais pagi makan pagi serta orang pencen yang dah habis simpanan. Merekalah yang susah.

Jadi janganlah kita gembira dengan kejayaan 50 hartawan kita atau ekonomi yang naik empat atau lima peratus sampai kita lupa penderitaan berjuta-juta rakyat jelata yang berpanas berhujan beratur sampai pengsan nak ambil duit BR1M. Wallahuaklam.

*Datuk A Kadir Jasin adalah tokoh wartawan negara. Artikel ini pertama kali disiarkan di blog beliau.

KLIK BACA: Saya dulu ketawakan Filipina, sekarang Malaysia begitu, – Musa Hitam

KLIK BACA: Nik Abduh masih mengungkit menyalahkan Tun Mahathir, Pak Lah

KLIK BACA: ‘Tiada siapa dalam Umno dapat menandingi Mahathir’ – Tan Sri Sanusi Junid

KLIK VIDEO: Rafizi beritahu Parlimen Najib belanja paling banyak hasil Petroleum

KLIK BACA: Kerajaan munafik jika tidak tepati janji, kata Najib

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: Anwar meninggal dunia dalam penjara kerana isu peribadi?… – Subky Latif

KLIK BACA: ‘PAS sanggup merangkak kepada Allah daripada dicium Dr Mahathir’

Tolong Komen & Share