Seolah-olah suasana musim bunga sakura di Jepun. Itu yang dapat digambarkan apabila fenomena bunga tekoma atau pun lebih dikenali sebagai sakura Kedah kembali lagi di negeri Jelapang Padi ini terutama di sekitar bandar raya Alor Setar.

Landskap bandar raya Alor Setar sekelip mata berubah apabila pokok tekoma atau pun nama saintifiknya tabebuia rosea mula mekar dengan mengeluarkan bunga berwarna merah jambu putih sejak awal minggu ini.

Tinjauan Bernama mendapati beberapa jalan utama di bandar raya ini mula dipenuhi dengan bunga-bunga tekoma seperti di Jalan Langgar, Jalan Kuala Kedah, Jalan Putra dan Jalan Sultan Badlishah.

Malah ia turut menjadi tumpuan pengunjung untuk mengabadikan kenangan dalam pelbagai aksi dan gaya yang cukup mencuit hati.

Pengunjung dari Ipoh, Perak, Salbiah Shuib, 34, berkata beliau mengetahui mengenai fenomena itu melalui gambar-gambar yang dikongsi di laman sosial Facebook sebelum tergerak hati untuk berkunjung ke Alor Setar.

“Saya merasakan Alor Setar boleh jadi kawasan tumpuan pelancong lebih ramai sekiranya ada promosi lebih banyak, buatlah pakej pelancongan yang menarik,” katanya.

Seorang penduduk tempatan, Nor Sharawana Idris Syana pula menyatakan musim bunga itu cukup membuat beliau berasa teruja.

“Bunga sakura Kedah dah berbunga macam tu lah hati akak berbunga-bunga. Kalau datang Alor Setar marilah ambil gambar rasa macam duduk luar negara,” katanya dalam catatan di laman sosial Facebook beliau.

Sementara itu Ketua Bahagian Landskap dan Rekreasi Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Mohd Faizal Abu Bakar memberitahu Bernama, fenomena setahun sekali itu kebiasaannya bermula pada Mac sehingga awal April.

Menurutnya sebanyak 866 pokok tekoma sudah menghasilkan bunga dengan kawasan yang terbanyak adalah di Jalan Kuala Kedah iaitu 369 pokok.

“Ketahanan bunga tekoma sebelum ia luruh dan berkembang penuh bergantung kepada suhu panas musim kemarau. Bunga tersebut akan mula gugur sepenuhnya sekiranya hujan mula turun.

“Dua tahun lepas suhu kemarau mencecah sehingga 38 darjah celsius menyebabkan bunga tekoma mekar sehinggakan tiada daun di pokok, hanya bunga semata-mata,” katanya. – Bernama

KLIK VIDEO: “Saya tidak simpan dendam terhadap Pak Lah,” cerita Mahathir

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: “Saya mohon maaf naikkan Najib Perdana Menteri”, kata Dr Mahathir

KLIK BACAKhairuddin, Ezam tubuh parti baru lawan Najib di Pekan

KLIK BACA: Saya dulu ketawakan Filipina, sekarang Malaysia begitu, – Musa Hitam

Tolong Komen & Share