Skuad negara beraksi cemerlang pada hari ketiga Kejohanan Silat Asia Tenggara apabila meraih tiga pingat emas dalam kategori Seni – Ganda Lelaki, Tunggal Lelaki dan Ganda Wanita semalam.

Pasangan negara, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Rosli Mohd Sharif menceriakan kem negara selepas mencatat 580 mata keseluruhan untuk meraih emas, mengatasi gandingan Vietnam Vu Quoc Viet/Nguyen Xuan Thanh yang meraih perak dengan 565 mata.

Pingat gangsa kategori Ganda Lelaki itu, dimenangi pasangan Singapura Muhammad Haziq Zainal Abidin dan Nijaid Hasif Zainal Abidin, yang mengumpul 561 mata.

“Ia permulaan yang baik bagi kami menjelang Sukan SEA Ogos depan dan kemenangan ini menaikkan semangat serta motivasi saya.

“Saya percaya, kami boleh melakukan persembahan lebih baik dan akan berusaha keras untuk mencapai matlamat utama memenangi pingat emas pada Sukan SEA,” kata Rosli selepas aksi final yang berlangsung di Kompleks Lincah Mahaguru Omardin, di ibunegara semalam.

Bagi kategori Tunggal Lelaki, Muhammad Afifi Nordin menepati ramalan meraih pingat emas setelah mengumpul 468 mata menewaskan pesilat Singapura Muhammad Iqbal Abdul Rahman untuk pingat perak dengan 452 mata.

Pesilat wanita negara turut beraksi cemerlang apabila meraih pingat emas dalam kategori Ganda Wanita, menerusi Nor Hamizah Abu Hasan/Nur Syazreen A.Malik, yang mengumpul 582 mata.

Tujuh negara mengambil bahagian pada Kejohanan Silat Asia Tenggara, iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia.

Sebanyak 19 kategori termasuk enam acara silat seni dipertandingkan pada kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 14 Mac lepas. – Bernama

KLIK VIDEO: “Saya tidak simpan dendam terhadap Pak Lah,” cerita Mahathir

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: “Saya mohon maaf naikkan Najib Perdana Menteri”, kata Dr Mahathir

KLIK BACAKhairuddin, Ezam tubuh parti baru lawan Najib di Pekan

KLIK BACA: Saya dulu ketawakan Filipina, sekarang Malaysia begitu, – Musa Hitam

Tolong Komen & Share