Selasa Tak Tiba Tapi Ramai Kawan Najib-Rosmah Tanggung Bala

oleh A Kadir Jasin

ALTANTUYA, Alantantuya
Ayah Pin Abu Ya
Najib kata nak saman Selasa
Tapi Selasa tak tiba-tiba.

Hari ini, Selasa 14 Mac 2017. Adakah sesuatu yang dinanti-nanti akan berlaku?

Atau ia akan berlalu sunyi dan kelu kerana Selasa tidak wujud dalam takwim kleptokrat dunia nombor satu?

Rasanya banyak orang sudah lupa. Pada 5 Julai 2015, akhbar The Star dan stesen TV Astro Awani melaporkan yang Perdana Menteri (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak akan kemukakan saman terhadap surat khabar Amerika Wall Street Journal (WSJ) pada hari Selasa 7 Julai 2015.

Maka media masa milik Umno dan prokerajaan pun berlawan-lawan siar berita itu. Utusan Malaysia begitu seronok sehingga membuat tajuk berita “PM Saman WSJ”.

Sampai hari ini orang dungu yang percaya kepada Utusan percaya Najib sudah saman WSJ.

Utusan Seronok Sampai “Tipu” Tajuk Berita

Hakikatnya sampai hari ini Najib tak saman dan tak mungkin dia berani saman pasal sejak itu bukti penipuan 1MDB makin banyak.

Contohnya makin ramai kawan Najib-Rosmah dan kawan kepada kawan Najib-Rosmah kena tindakan undang-undang pasal terlibat dengan skandal penipuan 1MDB.

Yang terbaru kena tindakan seorang kawan baik Najib-Rosmah bernama Tim Leissner, bekas pengarah Goldman Sachs. Semalam, 13 Mac, Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) haramkan dia daripada terlibat dengan sebarang kegiatan kewangan di republik itu selama 10 tahun.

(Dari kiri) Leissner, isterinya Kimora Lee, Najib dan Azman Mokhtar (Khazanah)

Dia adalah antara eksekutif kewangan yang kena tindakan kerana terlibat dengan skandal kecurian dan pengubahan duit haram (money laundering) 1MDB.

Najib adalah pengerusi lembaga penasihat antarabangsa 1MDB dan berkuasa ke atas 1MDB sebagai Menteri Kewangan. 1MDB adalah syarikat milik Kementerian Kewangan.

Selain Leissner, Singapura telah bicara dan jatuhkan hukum penjara serta denda ke atas lima orang yang lain.

Singapura juga tutup cawangan dua buah bank Swiss (Falcon Private Bank dan BSI) dan denda dua buah yang lain – UBS (Switzerland) dan DBS (Singapura) – kerana kesalahan yang sama.

Berbilion-bilion ringgit duit yang dicuri daripada 1MDB cuba “dibersihkan” di Singapura oleh Jho Low, sahabat akrab Najib-Rosmah.

Jho Low (kiri sekali) macam adik dengan abang.

Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat dah dan sedang ambil tindakan.

Di Amerika, Jabatan Kehakiman (DoJ) kata Jho Low dan anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz (anak Rosmah dengan suami lama), guna AS$1 bilion (kira-kira RM4.5 bilion pada kadar tukaran sekarang) duit 1MDB untuk beli harta, buat filem separuh lucah dan berfoya-foya.

DoJ kata orang yang berkuasa ke atas 1MDB adalah MO1 (Malaysian Official 1). Kita agak-agak saja siapa MO1. Tapi (Datuk Seri) Abdul Rahman Dahlan bagi tahu British Broadcasting Corporation (BBC) yang MO1 itu adalah Najib. Abdul Rahman ini orang Sabah kepercayaan Najib. Pengarah Strategik Barisan Nasional.

Pasal itu Najib dah tak berani ke Amerika dan Switzerland. Untuk Persidangan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York September lalu dia hantar Ahmad Zahid Hamidi dan untuk Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland, awal tahun ini dia hantar Mustapa Mohamed.

Tapi di Malaysia Peguam Negara (Tan Sri) Mohamed Apandi Ali, kata kes tutup. Apa yang nak kita hairankan.

Apandi adalah orang Umno lantikan Najib untuk ganti (Tan Sri) Abdul Gani Patail yang disingkir 24 jam atas alasan dia sakit tapi tanpa pengesahan Lembaga Perubatan (Medical Board).

Apandi tunjuk bukti “Najib tak salah”

Khabar kata, kontrak Abdul Gani ditamatkan pasal dia sedang bersiap sedia heret Najib ke mahkamah atas kes seleweng RM24 juta duit SRC International Sdn Bhd.

SRC ini milik Kementerian Kewangan dan pinjam RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kononnya untuk melabur di Mongolia negara Altantuya.

Kerja KWAP labur duit pencen kakitangan awam. Kalau macam ini, silap-silap duit pencen kakitangan awan pun lesap!

Jangan fikir tak boleh jadi. Dah ada banyak negara di mana duit pencen kakitangan awam lesap dicuri atau rugi dalam perniagaan macam di Greece, Brazil dan Argentina.

Pesara yang carum kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dah mula rasa. Dividen makin tahun makin kurang sedangkan kos sara hidup makin naik.

Jadi kita kena waspada pasal kerajaan kita sudah digelar kerajaan kleptokrasi oleh DoJ. Kerajaan kleptokrasi ni adalah kerajaan yang curi duit negara dan rakyat jelata.

Wallahuaklam.

RALAT: Tim Leissner inilah yang pada tahun 2012 atur hutang AS$6.5 bilion (kira-kira RM20 bilion pada kadar tukaran waktu itu) untuk 1MDB. Yang jadi kontroversi ialah Goldman Sachs dibayar komisen dan duit poket AS$593 juta (RM1.8 bilion). Pada tahun berikutnya (2013), kira-kira AS$680 juta masuk akaun peribadi Najib di AmBank.

*Datuk A Kadir Jasin adalah tokoh wartawan negara. Artikel ini pertama kali disiar di blog beliau The Scribe dan merupakan pendapat peribadinya justeru tidak semestinya mewakili pandangan penyusun.

MESTI BACA: Sanusi: Tun Mahathir cuba tegur tapi seperti mencurah air di daun keladi

TERKINI: UMNO parti yang payah mati, kata Annuar Musa

KLIK BACA: Jokowi tidak terima hadiah Raja Saudi, penjawat awam Indonesia dianggap rasuah jika hadiah tidak diisytihar

KLIK BACA: Mahathir: Tangislah negara ku tersayang, rahsia telah terbongkar…

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

Tolong Komen & Share