Penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH132 dari Auckland ke Kuala Lumpur ditangguhkan selama lebih 48 jam akibat mengalami masalah teknikal di Lapangan Terbang New Zealand.

Syarikat penerbangan itu, dalam kenyataannya memohon maaf kepada semua penumpang atas kesulitan yang berlaku.

“Keselamatan menjadi keutamaan bagi Malaysia Airlines. Penangguhan perlu dilakukan kerana kakitangan perlu menangani masalah teknikal pada pesawat A330-300.

“Pesawat itu memerlukan penggantian segera bahagian-bahagian yang tidak terdapat di New Zealand dan Australia,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Penerbangan itu pada asalnya dijadual berlepas dari Auckland pada pukul 12.55 pagi hari Sabtu dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 6.45 pagi hari yang sama.

Ia kemudian dijadual berlepas pada tengah malam 27 Mac dan tiba di Kuala Lumpur pada pukul 5.50 pagi hari yang sama.

Media New Zealand pagi ini melaporkan bahawa penerbangan itu akhirnya berlepas pada kira-kira pukul 1:30 pagi hari ini.

Laporan itu juga menyatakan penumpang kecewa kerana tidak menerima bantuan penginapan daripada MAS sepanjang kelewatan itu, malah ada yang terpaksa bermalam di lapangan terbang.

Mengulas perkara itu, MAS dalam kenyataannya berkata mereka kesal kerana tidak dapat menyediakan tempat tinggal kepada beberapa penumpang akibat ketiadaan bilik hotel di kawasan berhampiran.

“Kami menggunakan semua cara walaupun tidak berjaya dan pelanggan kami akan diberi pampasan sewajarnya,” katanya mengulangi bahawa MAS amat kesal dengan kesulitan dihadapi penumpang.

Tolong Komen & Share