DARI kiri Mohd Sanusi, Jasanizam dan Md Saifuddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, semalam. – Foto myMetro

Tindakan seorang lelaki melindungi dua rakannya daripada ditangkap polis berhubung kegiatan kumpulan pengganas Daesh membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap peniaga pasar malam Mohd Sanusi Satar, 31, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding, selepas dia menukar pengakuan bersalahnya hari ini dan mahkamah memerintahkannya menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 8 Ogos 2016.

Azman dalam penghakimannya berkata kesalahan Mohd Sanusi melindungi individu yang terlibat dengan aktiviti keganasan adalah serius dan tidak boleh dipandang ringan oleh mahkamah.

“Tertuduh sepatutnya sedar aktiviti keganasan tidak boleh dilindungi dan walaupun tertuduh memainkan peranan kecil dengan melindungi penjenayah yang terlibat, ia menggambarkan kesalahan yang dilakukannya begitu serius.

“Tindakan tertuduh melindungi pesalah jenayah itu adalah sama seperti dia terlibat dengan kesalahan berkenaan,” kata hakim itu.

Mohd Sanusi didakwa melindungi atau mengelak dalam penangkapan Jasanizam Rosni, 33, dan Md Saifuddin Muji, 28, yang diketahuinya bahawa kedua-dua lelaki itu telah melakukan atau berkemungkinan akan melakukan perbuatan pengganas.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah pondok di RPT Sg. Pas, Kuala Krai, Kelantan pada 1 Julai hingga 8 Ogos 2016, mengikut Seksyen 130K Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, pada 1 Julai 2016, Jasanizam atau dikenali sebagai ‘Zam’ memaklumkan kepada tertuduh bahawa dia sedang mencari tempat tinggal kerana perlu bersembunyi daripada pihak polis dan bertanyakan kepada tertuduh sama ada rumah ibu mentuanya berpenghuni atau tidak.

‘Zam’ juga memberitahu tertuduh bahawa dia bersembunyi disebabkan “kes di Puchong” dan tertuduh juga mempunyai pengetahuan kes di Puchong yang dimaksudkan Zam adalah berkaitan dengan letupan bom.

Tertuduh turut dimaklumkan bahawa Md Saifuddin yang dikenali sebagai ‘Panjang’ juga perlu bersembunyi disebabkan kes sama dan tertuduh kemudian mencadangkan kedua-dua rakannya itu bersembunyi di rumah ibu bapa tertuduh di Kuala Krai, Kelantan.

Tertuduh yang rasa bersalah kerana menyembunyikan mereka di rumah ibu bapanya selepas seorang wanita menghantar ‘screenshot’ berkaitan kedua-dua lelaki itu yang dikehendaki pihak polis kerana terlibat dengan kes letupan di Kelab Malam Movida, telah mengarahkan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Tarmizie’ membawa rakannya ke dusun buah milik bapa tertuduh untuk berlindung sehinggalah mereka ditangkap polis pada 9 Ogos 2016.

‘Tarmizie’ turut mengesahkan bahawa tertuduh telah memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun ibunya untuk membeli keperluan makanan bagi Zam dan Panjang.

Jasanizam mengaku tidak bersalah di mahkamah sama pada 27 Jan lepas atas dakwaan melibatkan diri dalam persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas iaitu bagi melakukan serangan ke atas tokong dan kelab-kelab malam di Johor Bahru.

Manakala Md Saifuddin dipenjara 14 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen Batu Pahat kerana memiliki sebutir bom tangan yang menyalahi undang-undang.

Terdahulu peguam Salehuddin Salleh yang mewakili Mohd Sanusi memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang bekerja sebagai penjual DVD cetak rompak tidak sedar perbuatan yang dilakukannya kerana terpengaruh dengan Jasanizam yang dikenalinya lebih 10 tahun.

“Jasanizam bukan sahaja rakan karib anak guam saya tetapi juga merupakan rakan kongsi dalam perniagaan mereka,” kata peguam itu yang turut memaklumkan bahawa anak guamnya tidak mempunyai rekod lampau.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor memohon hukuman setimpal kerana tertuduh telah mengaku melindungi dua rakannya itu yang didakwa melakukan perbuatan pengganas dan kesalahan dilakukan tertuduh adalah serius. -Bernama

KLIK BACA: “Hadi mahu selamatkan Najib bukan Malaysia”

TERKINI: Menteri UMNO – Mahdzir nasihat guru aktif kutuk kerajaan berhenti kerja

KLIK BACA: “Dr Mahathir: Saya bekas Presiden Umno, sekarang saya lihat bukan Najib saja salah

KLIK BACA: Muhkriz cabar bekas pembantu buktikan wang RM1 bilion dan filem Riza Aziz

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

Tolong Komen & Share