oleh A Kadir Jasin

KALAU kita ikut amalan biasa, tugas utama bank negara yang juga dipanggil bank pusat adalah melaksanakan dasar mata wang bagi menjamin pertumbuhan ekonomi yang stabil, menambah guna tenaga, menjaga kestabilan sistem kewangan dan mengawal inflasi.

Matlamat ini dicapai dengan mengawal kadar tukaran mata wang, kadar faedah dan jumlah wang dalam pengedaran. Ini kerana kewangan adalah faktor sangat penting dalam perancangan dan pelaksanaan ekonomi.

Ahli ekonomi boleh merancang dasar, program dan projek sama ada di peringkat syarikat, negeri atau negara. Tetapi sama ada ia berjaya dilaksanakan atau tidak, bergantung kepada nilai mata wang dan kedudukan kewangan.

Kalau nilai mata wang tidak stabil dan sistem kewangan lemah, segala dasar, program serta projek ekonomi, walau sebagus mana pun, tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Macam yang telah saya katakan berulang kali, tugas pokok sesebuah kerajaan adalah memudahkan kegiatan sektor swasta ketika ekonomi baik dan membantu rakyat jelata ketika ekonomi buruk.

Masa ekonomi baik kerajaan kutip lebih banyak cukai dan simpan sebahagiannya sebagai rizab. Masa ekonomi buruk dan kutipan cukai kurang, kerajaan guna rizab. Tapi kalau rizab tak ada atau tak cukup, masa itulah kita akan tengok kerajaan potong perbelanjaan.

Ini adalah dalam keadaan yang sempurna di mana dasar dan pentadbiran kerajaan diyakini pelabur dan pengguna. Malangnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ekonomi kita tidak lagi berada dalam keadaan sempurna, kukuh dan stabil.

Jadi tidak hairanlah kalau Bank Negara Malaysia (BNM) nampaknya tidak begitu berjaya melaksanakan tugas-tugas pokok yang disebutkan di atas. Kita semua sudah tahu dan rasa kesan buruk kejatuhan mata wang kita.

Kalau sebelum ini ringgit adalah antara mata wang negara membangun yang paling kukuh dan diyakini di dunia, hari ini duit kita bukan saja jatuh merudum berbanding mata wang negara maju malah kalah kepada mata wang yang dulu kita pandang rendah macam Baht (Thailand), Rupiah (Indonesia) dan Peso (Filipina).

Bukan salah BNM semata-mata. Ada banyak perkara menyebabkan nilai ringgit jatuh seperti kesan skandal 1MDB dan SRC International, tahap keyakinan yang rendah, kurang kepercayaan kepada pemerintah serta hutang kerajaan dan negara yang menggunung.

Jadi tidak hairanlah kalau satu lagi musibah melanda kita iaitu lonjakan besar kadar inflasi. Kenaikan harga pengguna bulan Mac dianggarkan lebih tinggi dari 4.5 peratus yang dicatatkan dalam Februari.

Maksudnya kadar kenaikan harga pengguna sekarang sangat teruk kerana kalau kita ikut kadar Februari saja pun, kadarnya adalah tertinggi dalam masa lapan tahun. BNM ramal inflasi tahun ini di antara tiga peratus dengan empat peratus berbanding 2.1 peratus tahun lalu.

Laporan media dalam dan luar negara mengatakan kadar inflasi yang tinggi itu mungkin disebabkan harga bahan bakar. Boleh jadi betul kerana tiba-tiba kerajaan mengubah sistem penentuan harga minyak dari bulanan kepada mingguan mulai 29 Mac lalu dan secara kebetulan harga petrol dan diesel turun.

Tapi kita kena ingat. Sistem ini menguntungkan pengguna kalau harga minyak mentah turun sebab harga di pam logiknya akan turun sama. Tapi kalau harga minyak mentah naik, pengguna akan rasa bebannya setiap minggu dan bukan setiap bulan seperti dulu.

Maksudnya kadar inflasi yang dulu bulanan sekarang jadi mingguan. Yang sebenarnya akan rasa kesan positif sistem baharu ini adalah penapis, pembekal dan peruncit minyak. Pendapatan dan keuntungan mereka naik dan turun mingguan dan bukan lagi bulanan.

Kalau harga minyak mentah naik, kita akan mengalami kenaikan harga mingguan, apatah lagi sekiranya pada masa sama nilai ringgit tidak naik. Kalau nilai ringgit meningkat, kenaikan harga minyak dan barangan import lain mungkin boleh disekat atau setidak-tidaknya pun dihadkan.

Malangnya, bukan kadar inflasi saja melambung. Masalah lebih buruk dari itu. Hutang luar negara pun melambung juga. Salah satu sebabnya ialah kerana kejatuhan nilai duit kita.

Laporan BNM 2016 mengatakan, hutang luar negara naik sembilan peratus kepada RM908.7 bilion (RM908,700,000,000) atau bersamaan dengan 73.9 peratus keluaran dalam negara kasar (GDP).

Contohnya kalau GDP kita RM1, sebanyak 74 sen terikat dengan hutang luar negara. Nisbah bayar balik hutang dan faedah naik kepada 25 peratus GDP berbanding 22.6 peratus pada tahun 2015 dan 19.1 peratus tahun 2014. Ertinya hutang kita makin bertimbun.

Semua orang sudah rasa kebejatan ekonomi yang semakin meruncing apabila harga makanan harian rakyat jelata macam kembung melambung sampai RM20 lebih sekilo, pengangguran meningkat dan pelbagai perbelanjaan awam dipotong. Wallahuaklam.

Datuk A Kadir Jasin adalah bekas ketua pengarang NST dan tokoh wartawan negara. Artikel ini pertama kali disiarkan di blog beliau The Scribe serta kolum beliau di Sinar Harian – Asam Pedas. | Foto ihsan Free Malaysia Today

KLIK BACA: Saman Tawfik halang RUU355 apakah untuk menyelamatkan Najib? – Shahbudin Husin

KLIK BACA: Kerana polis Najib hilang peluang bersih nama, tulis Tun Dr Mahathir

KLIK BACA: Najib merugikan bangsa – Dr Mahathir tidak pernah kalah dalam pertarungan besar politik

KLIK BACA: Rafizi lapor polis Jho Low, desak rakyat lakukan perkara sama

KLIK BACA: Siti Kasim mahu saman blogger bodoh dia cipta tuhan baru GETARAN

KLIK BACA: Orang terkorban kerana 1MDB – Tan Sri Sanusi Junid

KLIK BACA: Kisah Sirul pembunuh Altantuya, hukuman gantung apa perasaannya? Tan Sri Sanusi Junid

Tolong Komen & Share