PERANG DUNIA KETIGA AMERIKA LAWAN RUSIA

oleh Abdul Muein Abadi

DALAM tempoh seminggu sahaja Donald Trump telah menyerang Syria, menghantar kapal perang ke Korea, mengugut China dan Rusia, dan terkini mengebom Afghanistan dengan ‘Ibu Segala Bom’ (MOAB). Trump nampaknya telah memulakan perang pada skala yang berbeza di Lima Penjuru: Rusia, China, Syria, Korea Utara, dan Iran.

Peperangan demi peperangan pernah diisyaratkan bakal berlaku oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Antaranya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kamu akan mengadakan perdamaian dengan bangsa Rom dalam keadaan aman lalu kamu akan berperang bersama mereka menentang satu musuh dari belakang mereka. Maka kamu akan selamat dan mendapat rampasan perang, kemudian kamu akan sampai ke sebuah padang rumput yang luas dan berbukit-bukit, maka berdirilah seorang lelaki dari kaum Rom.

Lalu dia mengangkat tanda salib dan berkata: “Salib telah menang!”, maka datanglah seorang lelaki dari kaum Muslimin dan membunuh lelaki Rom tersebut lalu kaum Rom telah berlaku khianat dan terjadilah peperangan demi peperangan. Di mana mereka akan bersatu menghadapi kamu di bawah 80 bendera dan di bawah setiap bendera terdapat 12 ribu tentera” (HR. Ahmad, Abu Dawud, dan Ibnu Majah).

1. Trump yang dahulunya menentang usaha menumbangkan Bashar al-Assad kini telah ‘mengirim’ 59 Tomahawk ke Syria. Namun malangnya hanya 20 peratus sahaja serangan tersebut dilaporkan berkesan oleh Setiausaha Pertahanan Amerika, iaitu ‘Anjing Gila’ Mattis. Lebih memilukan, kurang 24 jam selepas serangan tersebut Syria masih berupaya mengerahkan angkatan udaranya untuk menyerang pasukan pemberontak.

2. Trump yang dulunya cukup tegas dalam menyelar tindakan manipulatif mata wang China serta perjanjian perdagangan China kini terpaksa menjamu Presiden Xi Jinping dengan kek coklat dan menawarkan hubungan dagang yang lebih baik jika China bertindak ke atas Korea Utara.

Tapi tidak sampai empat minit Trump menyebut tawaran itu dalam Twitter, beliau ‘U-turn’ sekali lagi beri amaran Amerika akan bertindak meskipun tanpa kerjasama China. China sebaliknya dengan cukup pantas telah persiapkan 150,000 anggota tentera di perbatasannya dengan Korea Utara sebagai tindak balas kemungkinan sebarang peperangan meletus.

3. Trump yang dulunya pernah bercadang untuk berunding secara langsung dengan Presiden Kim Jong Un memujuk Pyongyang agar menghentikan program nuklearnya kini sebaliknya bertindak secara ketenteraan dengan mengirim kapal perang dikepalai USS Carl Vinson ke Semenanjung Korea, mengakibatkan Korea Utara bersiap sedia dengan peluru berpandunya.

Cukup berbahaya apabila Trump berkemungkinan melancarkan serangan pencegahan (pre-emptive strike) ke atas Korea Utara pada hari Sabtu sempena sambutan ‘Hari Matahari’ ke-105 di mana Korea Utara menyambut ulang tahun kelahiran pengasasnya, Kim Il-Sung. Imej satelit menunjukkan loji nuklear Punggye-Ri Korea Utara masih berterusan aktif.

Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe turut memberi amaran kemungkinan Korea Utara berupaya melancarkan peluru berpandu yang dilengkapi Gas Sarin. Pegawai Amerika mengatakan kemungkinan Tomahawk turut digunakan bagi menyerang Korea Utara, seperti mana di Syria tempoh hari.

4. Trump yang dahulunya menegaskan AS perlu mengurangkan beban perbelanjaan ketenteraan dengan Jepun dan Korea Selatan, hari ini bakal mengadakan latihan ketenteraan di Semenanjung Korea dengan turut disertai Jepun. Malah Amerika baru-baru ini mengundang kemarahan China apabila memasang sistem anti-peluru berpandu THAAD di Korea Selatan.

5. Trump yang dulunya ingin memulakan hubungan baik dengan Rusia dan Putin, serta membina pakatan yang baru AS-Rusia hari ini terpaksa berhadapan dengan Putin yang berang. Rusia bukan setakat memperkukuhkan kedudukannya di Syria melalui pengiriman kapal tentera laut, malah kehadiran Setiausaha Negara AS di Rusia turut mendapat liputan meluas apabila Rex Tillerson terpaksa menunggu sekian lama sebelum dapat berjumpa dengan Presiden Putin.

Padahal, Rex Tillerson sebelum ini biasa berurusan dengan Putin sebagai CEO syarikat Exxon-Mobile. Beliau turut ditanggap kritis oleh Sergey Lavrov, Menteri Luar Rusia. Dalam masa yang hampir sama juga Rusia turut memveto cubaan AS membuat resolusi mengecam Syria di PBB.

6. Trump hanya konsisten dengan satu negara, iaitu Iran. Jika semasa kempen beliau melaungkan amaran keras ke atas program nuklear Iran dan mengecam perjanjian Obama-Iran 2015, kini Trump konsisten mengecam campur tangan Iran menyokong rejim Assad di Syria.

Syukurlah, Trump masih belum bertindak gila mengirim serangan ke Tehran kerana langkah sedemikian bakal mengundang padah yang jauh lebih besar – sama ada ke atas implikasi kewangan AS, mahupun ke atas kestabilan politik dunia. Namun, tindakan terkini Amerika mengebom Daesh di negara jiran Iran, iaitu Afghanistan dengan ‘Ibu Segala Bom’ MOAB (Massive Ordinance Air Blast) yang merupakan bom konvensional bukan nuklear yang cukup berkuasa sebenarnya berfungsi sebagai amaran kepada Iran.

Ia menunjukkan keupayaan AS untuk melancarkan serangan sama ke atas Iran pada bila-bila masa. Hal ini pasti memberi kesan psikologi menjelang pilihan raya Presiden Iran pada Mei ini. Bahkan Mahmoud Ahmadinejad – mantan Presiden yang terkenal dengan aliran konservatif yang tegar – telah menghantar pencalonan untuk mencabar Presiden Iran pada waktu ini, Hassan Rouhani.

7. Amerika masih merupakan kuasa dunia yang terunggul dari segi keupayaan serta perbelanjaan ketenteraan, dan hakikat ini disedari firma ketenteraan Amerika. Perang dianggap sebagai perniagaan yang menguntungkan. Janji Trump untuk meningkatkan perbelanjaan ketenteraan juga terus memberi isyarat positif buat sektor ini.

Dalam kes Tomahawk yang digunakan dalam serangan ke atas Syria baru-baru ini, saham syarikat Raytheon yang mengeluarkan Tomahawk telah meningkat. Pastinya firma lain seperti Lockheed Martin (yang memperoleh kontrak sebanyak USD29.4 bilion daripada kerajaan AS pada 2015), Boeing (AS$14.6 bilion), General Dynamics (AS$11.8 bilion), Northrop Grumman (AS$9.5 bilion), United Technologies (AS$ 6.6 bilion), L-3 Communications (AS$5 bilion), BAE Systems (AS$4.2 bilion), dan Humana Inc (AS$3.5 bilion) turut ingin memastikan saham mereka meningkat. Demikian juga firma-firma di Rusia seperti Almaz-Antey, Sukhoi, Irkut, United Aircraft Corp, Tactical Missiles Corp, Russian Helicopters, Uralvagonzavod, serta United Shipbuilding Corp yang perlu memastikan mereka terus relevan.

Soalnya, adakah Perang Dunia Ketiga benar-benar menguntungkan dan menjadi pilihan mereka?

Abdul Muein Abadi, Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

KLIK BACAPRU14 boleh menang kita sudah asah keris, kata Najib

KLIK BACADari Najib kepada Nasharudin, dari Nasharudin diagih kepada siapa pula?

KLIK BACA: Ezam saman Najib AS$3.66 bilion

KLIK BACA: Cerita lawak Koboi dan Tuan Puteri

Tolong Komen & Share