Lima anggota Renjer maut manakala seorang lagi cedera parah apabila kenderaan jenis pikap yang dinaiki mereka diserang hendap oleh penyerang tidak dikenali di daerah Chana, wilayah Songkhla, selatan Thailand semalam.

Kejadian serangan hendap itu berlaku kira-kira pukul 2.30 petang waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia) di Jalan Ban Ngae ketika anggota Renjer terbabit sedang melakukan rondaan.

Menurut sumber keselamatan Thailand, kenderaan pikap anggota Renjer itu terbabas selepas terkena bom buatan sendiri yang diletakkan di tepi jalan sebelum penyerang tidak dikenali yang bersembunyi di semak-samun melepaskan tembakan senjata automatik.

“Penyerang telah melepaskan tembakan terhadap kenderaan anggota Renjer itu yang terbabas menyebabkan kematian dan kecederaan terhadap anggota,” katanya dan menambah penyerang turut mencuri senjata M-16 milik anggota terbabit.

Penyerang juga dilaporkan menabur paku di jalan bagi melengah-lengahkan penghantaran bantuan daripada pihak keselamatan.

Jurucakap Pusat Pemerintahan Keselamatan Dalam Negeri (ISOC) Kol Pramote Prom-in mengesahkan kejadian itu. – Bernama

Tolong Komen & Share