MAS selesai cara baik dengan keluarga Australia mangsa nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine – Foto Wired.uk

Malaysia Airlines (MAS) telah berjaya mencapai kata sepakat dengan sebuah keluarga dari Australia yang kehilangan empat ahli keluarga dalam nahas penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine tiga tahun lalu.

Anthony Maslin dan Marite Norris dari Perth kehilangan tiga anak, Mo, 12, Evie, 10, dan Otis, lapan, dalam tragedi itu.

Bapa Nooris, Nick Norris, yang melancong bersama tiga kanak-kanak berkenaan turut terkorban dalam nahas tersebut.

Mereka adalah keluarga pertama dari Australia yang mencapai penyelesaian dengan MAS.

Penyelesaian itu dibuat selepas keluarga Maslin memfailkan saman terhadap syarikat penerbangan itu.

MAS mengesahkan bahawa ‘penyelesaian cara baik dan sulit’ telah dicapai dengan keluarga Maslin, menyebabkan saman itu ditarik balik.

“MAS bagaimanapun tidak akan mendedahkan sebarang maklumat lanjut mengenai saman ini atau mengenai butiran penyelesaian berkenaan bagi menghormati privasi keluarga,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

“Ingatan dan doa kami sentiasa mengiringi keluarga dan rakan-rakan mangsa yang terlibat,” katanya.

Saman yang dikemukakan oleh Maslins telah ditarik balik berikutan penyelesaian tersebut.

Pada 17 Julai 2014, penerbangan MH17 telah ditembak jatuh dan membunuh semua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 44 rakyat Malaysia dan 38 rakyat Australia.

Tolong Komen & Share