oleh Shahbudin Husin

Tun Mahathir Mohamad sudah beberapa kali menyatakan beliau tidak mahu menjadi Perdana Menteri semula. Alasannya, beliau sudah terlalu tua, selain pernah menduduki kerusi tersebut selama 22 tahun sebelum ini.

Tetapi, melimpahnya sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang sekarang ini sebahagian besarnya ialah kerana pengaruh dan aura Tun Mahathir. Ke mana-mana beliau pergi, kehadiran 3,000, 5,000 dan melebihi 10,000 adalah jumlah yang biasa.

Dengan Anwar Ibrahim di penjara dan jika Tun Mahathir tidak bermusuh dengan Najib berikutan skandal 1MDB yang tidak boleh diterimanya, Pakatan Harapan tidaklah segagah seperti yang ada sekarang ini.

Seorang pensyarah UTM, Dr. Mazlan Ali berkata, realitinya Najib akan berhadapan detik getir dalam PRU 14 akan datang disebabkan tsunami Mahathir yang sedang berlaku di seluruh negara sehingga menghadapi kesukaran memilih tarikh yang sesuai untuk mengadakan pilihanraya.

UMNO dan BN ketika ini, jelasnya, berhadapan tentangan kuat dari kalangan orang Melayu yang menyokong perjuangan Tun Mahathir, Bersatu serta bersama Pakatan Harapan untuk menolak kerajaan pimpinan Najib.

Dengan perubahan sokongan Melayu yang sedemikian rupa, di tambah keadaan bukan Melayu yang memang sedia menolak MCA, MIC dan Gerakan, Pakatan Harapan sebenarnya sedang berada di landasan yang betul untuk membentuk kerajaan baru selepas pilihanraya akan datang.

Satu-satunya usaha menonjol Najib untuk menghalang rakyat daripada menyingkirkannya ialah dengan membesar-besarkan perpecahan di kalangan Pakatan Harapan dengan harapan keyakinan rakyat akan goyah dan mereka juga kononnya tiada agenda untuk membangunkan negara.

Najib turut kerap mengulang-ulang kononnya gambaran kedudukan ekonomi dan keadaan negara yang selalu diperkatakan oleh pihak pembangkang adalah tidak benar, mengelirukan dan jauh daripada realiti sebenar.

Namun, di waktu yang sama, Najib terus berhadapan dengan kemarahan daripada pelbagai lapisan rakyat tentang kenaikan kos sara hidup, tiada peluang perniagaan, pengangguran, ekonomi merudum, cengkaman GST, selain deretan skandal dirinya yang berpunca daripada 1MDB.

Pemberian tunai BR1M yang sebelum ini digembar-gemburkan turut tidak lagi berbisa kerana rakyat akhirnya sedar pemberian itu asalnya adalah duit mereka dan daripada GST yang dicukai setiap hari.

Pilihanraya tidak terlalu lama tempohnya lagi. Apa yang Pakatan Harapan perlu lakukan ialah mengekalkan momentum penolakan sedia ada terhadap Najib, di samping menambah keyakinan rakyat kepada gabungan itu.

Keyakinan rakyat pasti tambah mengukuh lagi, di samping terus menghimpit Najib ke dinding jika Pakatan Harapan dapat segera menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mereka.

Untuk berlawan dan menyingkirkan Najib, bukan saja Tun Mahathir satu-satunya calon paling layak di kalangan pemimpin-pemimpin pembangkang sedia ada, bahkan dengan menonjolkan beliau juga mampu membangkitkan keyakinan yang menyeluruh di kalangan rakyat.

Berdasarkan rekod beliau memimpin negara selama ini, siapa yang tidak yakin dengan Tun Mahathir?

Melayu, Cina, India, kakitangan kerajaan, orang muda, orang bawahan, orang dapur dan segala lapisan rakyat lebih yakin kepada Tun Mahathir berbanding Najib.

Dibandingkan jika BN kekal dan Najib terus menjadi Perdana Menteri, berapa peratus rakyat yang suka dan sedia berketuakan beliau lagi?

Sokongan kepada Najib memang diketahui merudum, di kalangan 3.5 juta ahli UMNO pun ramai yang tidak suka kepadanya, tetapi dengan menonjolkan Tun Mahathir, beliau akan lebih tertolak ke tepi lagi.

Sejujurnya hanya Tun Mahathir yang layak serta mampu memulihkan negara ini dan pilihan antara beliau dengan Najib lebih memudahkan rakyat membuat pertimbangan berbanding jika pemimpin-pemimpin pembangkang lain ditonjolkan atau kiranya calon Perdana Menteri tidak dinamakan sama-sekali.

Memang Tun Mahathir sudah menjangkau usia 92 tahun, tetapi sesiapa yang biasa menghadiri program-programnya pasti sedar beliau masih segar, bertenaga dan mempunyai pemikiran yang baik untuk mentadbir negara.

Lagi pun, Tun Mahathir tidak diperlukan terlalu lama untuk menjadi Perdana Menteri buat kali kedua ini. Setahun atau setahun setengah sudah memadai bagi beliau menyusun pentadbiran negara, memulihkan ekonomi dan menyumbat ke penjara sesiapa yang terbukti bersalah menjahanamkan negara.

Jika selama ini Pakatan Harapan tetap dengan pendirian mahu Anwar Ibrahim sebagai bakal Perdana Menteri, hasrat itu sebenarnya lebih mudah terlaksana dengan memberi laluan kepada Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri terlebih dahulu.

Anwar sekarang berada di penjara dan jika tahun depan beliau dijangka dibebaskan setelah diambil kira faktor berkelakuan baik daripada tempoh lima tahun hukuman yang dijalaninya, beliau selepas itu masih terikat dengan sekatan lima tahun tidak boleh bertanding dalam pilihanraya.

Dalam keadaan itu hanya Tun Mahathir yang ada kekuatan dan keupayaan untuk mengadap dan meyakinkan Yang Dipertuan Agong bagi memberi pengampunan penuh kepada Anwar dan membolehkannya bertanding semula.

Jika Muhyiddin Yassin atau yang lain-lain menjadi Perdana Menteri, mereka mungkin akan berkata, “Ahhh, tunggu dululah…bagi saya merasa sekurang-kurangnya sepenggal dulu duduk di Seri Perdana.”

Selepas sepenggal berlalu, Anwar mungkin sudah terlalu tua untuk menduduki kerusi Perdana Menteri itu.

Kiranya Dr Wan Azizah Wan Ismail pula menjadi Perdana Menteri, tentulah tidak berapa cantik di mata rakyat jika beliau membuat yang membuat pengampunan itu kerana ia bukan saja untuk membolehkan suaminya bertanding di tempatnya di Permatang Pauh, bahkan juga untuk menggantinya sebagai Perdana Menteri.

Adakah rakyat Malaysia sedia memilih seorang isteri sebagai calon Perdana Menteri, tetapi kemudian mengusahakan pembebasan serta memberi laluan kepada suami sendiri mengambil alih tempatnya?

Bertukar ganti antara Anwar dengan Dr. Wan Azizah di Permatang Pauh atau kerusi Ketua Pembangkang barangkali masih boleh diterima, tetapi tentunya bukan bagi jawatan Perdana Menteri.

Tidak menjadi masalah jika Pakatan Harapan tetap mahukan Anwar jadi Perdana Menteri. Tetapi, untuk menuju hasrat itu, kemenangan dalam pilihanraya dan memulakan proses pengampunan bagi Anwar, mesti dilakukan terlebih dahulu.

Bukan Dr. Wan Azizah, Muhyiddin, Azmin Ali atau Mukhriz Mahathir yang berwibawa melakukan dua perkara itu – mengetuai untuk menang pilihanraya berlawan dengan Najib dan kemudian memberi laluan sempurna buat Anwar menjadi Perdana Menteri.

Ia, tanpa ragu-ragu, hanya boleh dilakukan oleh Tun Mahathir saja.

*Shahbudin Husin adalah penganalisis dan penulis buku politik. Artikel adalah pendapat peribadi beliau dan tidak semestinya mewakili pandangan Malaysian Review.

KLIK BACA:  Anwar Ibrahim Meninggal Dunia Di Penjara Kerana Peribadi?

KLIK BACA: Nilailah Rosmah seperti Michelle Obama

KLIK BACA: Dr Mahathir saja boleh kalahkan Najib, kata Zaid

KLIK BACABersiaplah hadapi Tsunami rakyat sempena Ulang Tahun Umno Ke-71 – ZAM

KLIK BACA: Dr Mahathir kata sebaliknya dakwaan Najib tidak gadai kedaulatan negara?

KLIK BACA: Tariq Ismail – Najib masih tak faham strategi China

TERKINI: India beri amaran negara mungkin terbeban bayar hutang China

KLIK BACA: Zaman Mahathir rakyat tidak terkongkong – Bekas MB Selangor Mat Taib

KLIK BACA: Rasulullah soal Sahabat bagaimana jika kau lihat pembesar mengambil harta?

Tolong Komen & Share