Pengerusi AirAsia Bhd Datuk Kamarudin Meranun mempertahankan juruterbang AirAsia X flight D7237 kerana meminta penumpang berdoa ketika kecemasan dalam perjalanan yang tergendala Ahad lepas, dan berkata beliau juga akan melakukan perkara yang sama.

Beliau berkata juruterbang dalam keadaan tenang dan mengawal keadaan tersebut, dan sebagai seorang “peganut” meminta semua orang berdoa bersamanya sambil beliau mengendalikan pesawat.

“Apa salahnya meminta orang berdoa mengikut agama masing-masing terutamanya apabila kamu dalam keadaan yang sukar, memohon pertolongan Tuhan sambil melakukan apa yang termampu dengan kekuatan sendiri?” katanya di Facebook hari ini lapor FMT.

“Memang mudah mengeluarkan kenyataan apabila kamu selamat di darat. Keadaan seperti itu tidak mudah diuruskan,” tambahnya.

Kamarudin berkata objektif juruterbang itu jelas mahu mendaratkan pesawat dengan selamat dan memastikaan keselamatan semua penumpang.

“Saya juga akan lakukan perkara yang sama,” katanya.

“Seperti biasa, saya pertahankan juruterbang dan pasukannya, sebagai anggota masyarakat dan pengurusan/pemegang saham AirAsia.”

Datuk Zaid Ibrahim semalam mengkritik cadangan juruterbang itu dan kerana mengatakan beliau juga akan berdoa mengharapkan pesawat mendarat dengan selamat.

“Saya lebih suka juruterbang tidak beritahu saya berada di ambang maut,” kata bekas menteri undang-undang itu di Twitter.

“Juruterbang harus memberi harapan, dan menyerahkan yang lain kepada Tuhan dan penumpang. Jika AirAsia memang suka berdoa, lantik imam dan paderi yang betul,” tambahnya.

Pesawat Airbus A330 dengan 359 penumpang mengalami masalah teknikal tidak lama selepas berlepas dari Perth ke Kuala Lumpur, tetapi mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Perth 10.00 pagi Ahad.

Sementara itu catatan Facebook semalam oleh seorang penumpang bernama Madeline Wright memuji kelakuan kapten pesawat sepanjang kecemasan.

“Kapten kamu mententeramkan kami sepanjang masa dan memberikan setiap maklumat yang diketahuinya,” katanya.

“Cara kami semua bekerjasama dan tenang sepanjang peristiwa memudahkan anak kapal membantu kami dan kapten menerbangkan kami sehingga selamat. Tiada orang menjerit.”

“Masalah teknikal seperti ini boleh berlaku pada mana-mana pesawat dan penerbangan murah AirAsia tidak salah,” tambahnya.

“Orang ramai tidak sepatutnya mengkritik AirAsia kerana kecuaian – masalah teknikal berlaku sepanjang masa, termasuk penerbangan yang mahal.”

Beliau menyifatkan kritikan terhadap kapten kerana memberitahu penumpang supaya berdoa dan cubaan memecatnya sebagai “menjijikkan”.

“Beliau seorang profesional. Beliau seorang manusia. Beliau suara yang tenteram semasa peristiwa itu dan memberikan kami harapan,” katanya.

“Kerana beliau saya masih hidup dan saya sangat berterima kasih.”

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) memulakan siasatan ke atas kejadian itu dan berkata laporan akan dikeluarkan dalam beberapa bulan.

Ia menambah memandangkan masalah enjin semasa penerbangan itu, kerangka pesawat mengalami gegaran sederhana dan anak kapal “memilih untuk pulang ke Perth”.

KLIK BACA: Seperti Dcaprio dan Mirander Kerr adakah isteri MOI juga pulangkan berlian kepada DOJ

Tolong Komen & Share