oleh Hadi Awang

Ramai yang tertanya-tanya seolah-olah saya tidak berminat untuk membuat perubahan kerana 1MDB ketika banyak pihak menjadikan isu ini senjata besar untuk melakukan perubahan kepada pucuk pimpinan negara.

Saya tidak termasuk dalam kalangan Melayu yang mudah lupa terhadap isu yang wajib berlaku pada setiap zaman perdana menteri bermula sejak 1980-an.

Semuanya ditinggalkan tanpa penyelesaian, bahkan dilupakan khususnya kepada Melayu yang mudah lupa.

Sekiranya kita kembali kepada al-Quran dengan kajian politik (kecuali mereka yang menolak adanya politik di dalam al-Quran), ia mengulang beberapa kali ayat yang menyebut perubahan terhadap sesuatu kaum dalam sesebuah negara. Antaranya, firman Allah bermaksud:

“(Balasan) yang demikian itu, ialah kerana sesungguhnya Allah tidak akan mengubah sesuatu nikmat yang telah dikurniakan-Nya kepada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-Anfal:53)

“Bagi setiap orang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawasi dan menjaganya (dalam segala tindakannya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya.” (ar-Ra’d:11)

Al-Quran menegaskan kepada perubahan sikap, perangai atau akhlak, bukannya mengubah tokoh atau orang-orangnya sahaja.

Islam mengekalkan sesiapa yang bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Kalau hanya sekadar mengubah orangnya sahaja sedangkan perangainya sama, maka perubahannya juga membawa rebah yang sama.

Al-Quran juga melaporkan, dakwah semua para rasul alaihissalam adalah seruan kepada perubahan akidah yang benar, hukum syariat yang adil dan akhlak yang mulia tanpa meminta-minta jawatan.

Akhirnya berlaku perubahan, sama ada bertaubat kembali kepada kebenaran atau dijatuhkan jahiliyah di dalam dirinya dan ditegakkan Islam, bukannya sekadar mengubah pemimpin yang sama juga sifatnya atau lebih buruk keadaannya.

1MDB adalah mata rantai masalah yang belum diselesaikan secara adil dan menjadi salah satu daripada mata-mata rantai isu yang tiada penyelesaian.

Dahulu BMF, Perwaja, KWSP, PETRONAS, Tabung Haji, pertukaran mata wang asing, Skyhawk, Maika Holdings dan PKFZ.

Kini muncul 1MDB dan rumah banglo di Pulau Pinang dan mungkin lain-lain lagi. Semuanya dalam tuduhan tanpa tindakan yang seadil-adilnya.

Puncanya adalah ideologi bertuhankan kebendaan dalam segala urusan hidup yang mencipta banyak lagi penyakit yang wajib dihapuskan seperti salah laku, salah urus dan rasuah yang menjadi wabak di seluruh dunia sehingga mencetuskan peperangan sesama keluarga, bukan sahaja dalam satu bangsa, bahkan satu kemanusiaan dalam satu negara.

Kebendaan menjadi matlamat kehidupan di dunia tanpa wawasan akhirat. Hidupnya untuk makan, bukan makan untuk hidup dan menunaikan amanah Allah.

Saya tetap tidak bersetuju dijemput campur tangan asing bagi mencari penyelesaian dalaman kita kerana mengundang akibat yang lebih buruk dan tiada keikhlasan kuasa asing dalam dunia hari ini. Langkahnya laksana menebuk kapal untuk mendapatkan air secara mudah.

Saya tertarik dengan sekawan anjing dalam satu kampung yang berkelahi berebut tulang. Mereka tidak menjemput anjing luar datang bersama, sebaliknya bersatu mengejar anjing luar yang datang menyertainya.

Kita juga tidak boleh menunggu apa yang dinyatakan oleh Allah dalam al-Quran tentang bagaimana semua penyangak di dunia ini akan mengutuk sesama sendiri di hari akhirat.

Firman Allah (bermaksud): Allah berfirman: Masuklah kamu ke dalam neraka bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada kamu, dari jin dan manusia. Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya (golongannya sendiri); hingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan yang akhir mengenai golongan yang pertama di antara mereka: Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami; oleh itu berilah kepada mereka azab seksa yang berlipat ganda dari (azab) neraka. Allah berfirman: Kamu masing-masing disediakan (azab seksa) yang berlipat ganda tetapi kamu tidak mengetahui. Dan berkatalah golongan pertama (ketua-ketua), antara mereka, kepada golongan yang akhir: (Jika demikianlah hukuman Tuhan), maka tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. (Allah berfirman): Oleh itu rasalah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan. (al-A’araf:38-39)

Ayat-ayat tadi menyatakan tentang peristiwa di hari akhirat sekiranya tidak diselesaikan atau tidak bertaubat di alam dunia ini.

Akhirat adalah kehakiman Allah, tidak ada lagi kehakiman dalam negara atau luar negara atau mahkamah antarabangsa seperti di alam dunia ini.

Harimau jadi kucing kurap

Namun, Allah membuka pintu taubat seluas-luasnya sehingga nyawa sampai ke kerongkong dan matahari naik dari arah barat. Seterusnya menggalakkan taubat dan melakukan islah lebih baik daripada dibawa ke mahkamah.

PAS tidak boleh menjadi gerabak kereta api yang disangkut kepada kepala yang menuju ke arah yang salah. Sekadar membawa perubahan pemimpin yang berkonsep 2×2 atau 2+2, jawapannya sama.

PAS tidak boleh mengikut sunnah mereka yang melahirkan saudara-saudara 1MDB dan saudara-maranya yang akan lahir selepas ini kerana sunnah yang sama acuannya.

PAS tetap tegas dan teguh beristiqamah mengikut penyelesaian Islam daripada al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW walaupun banyak liku dan jauh perjalanannya.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW (bermaksud): Sesiapa yang menunjukkan bersama Islam ajaran yang baik nescaya dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang mengikut contoh baiknya tanpa dikurangkan pahalanya sedikit pun dan sesiapa yang menunjukkan bersama Islam ajaran yang jahat nescaya dia memikul dosanya dan dosa orang mengambil teladannya selepasnya tanpa dikurangkan dosanya sedikit pun (riwayat Muslim).

1MDB adalah ciptaan tema “Kepimpinan Melalui Teladan”. Apakah teladannya? Lakukan muhasabah politik dan ekonomi sebelum ini dan kembali ke pangkal jalan.

Saya tidak menafikan adanya perkembangan positif dalam negara di sepanjang perjalanannya sehingga diberi gelaran Harimau Asia, tetapi tiba-tiba bertukar menjadi kucing kurap yang dibejati penyakit-penyakit.

Khalifah Umar al-Khattab RA menegaskan: Sesungguhya kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berterusan dalam kebatilan.

Ahli-ahli dan pemimpin PAS, jangan ikut menari bersama mereka yang memalu gendang dan meniup serunai lagu lama, yang hanya mengubah seni kata dan rentaknya sahaja, sehingga lalai dalam khayalan atau menerkam secara leka tanpa hidayah yang betul.

Tidakkah kita berpandukan al-Quran yang benar daripada Allah Yang Maha Mengetahui segala-galanya?

Ingatlah firman Allah SWT yang menceritakan tentang ucapan Nabi Syuib AS yang menghadapi kaumnya yang rosak akidah dan secara khusus melaksanakan sistem ekonomi yang diharamkan oleh Allah:

“Aku hanya bertujuan hendak melakukan islah (memperbaiki) sedaya upayaku dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali” – (Hud:88).

DATUK SERI ABDUL HADI AWANG ialah presiden PAS dan anggota parlimen Marang.

Nota Ana Ghoib: Solusi yang diberi Hadi Awang nampaknya cuma taubat dan islah justeru ada nada memberi maaf kepada si terdakwa pelaku namun turut mengungkit JUDI kisah lama yang dipercayai menjadi punca sikap pesimis spara-pasif Hadi terhadap senario politik angkara pemimpin UMNO-BN.

Selesai menerusi Al Quran pula tidak disebut Hadi secara khusus kerana sepatutnya Hadi menulis terus terang bahawa Allah itu Maha Adil dan berlaku adil juga cinta akan hambaNya yang berlaku adil oleh itu kepada PDRM dan SPRM serta AG hendaklah berlaku adil MELALUI perbicaraan penuh di Mahkamah [noktah] bukan kasus ini cuma menjadi bahan fitnah dan cakap-cakap politik retorik agama, bangsa dan wang.

Mungkin Hadi dan pihak berkuasa di Malaysia boleh kembali merujuk kisah Ubairiq kasus tuduh menuduh mencuri kelengkapan perang dan gandum [teregu] serta bagaimana Rasulullah SAW menyelesaikannya serta Allah menurunkan ayat melarang berhujah bagi pihak mereka yang khianat.

Pendek cerita baju perang dipulangkan manakala gandum yang sudah dimakan pencuri dihalalkan oleh si pemilik tetapi dalam kasus ini baju perang 1MDB tidak dipulangkan.

Sebuah kisah menarik dari hadis Imam Ahmad seterusnya dari Ummu Salamah yang menceritakan bahwa ada dua orang lelaki dari kalangan Ansar datang mengadukan persengketaan mereka kepada Rasulullah Saw mengenai warisan yang ada di antara keduanya di masa yang lalu, sedangkan masing-masing tidak mempunyai bukti.

Maka Rasulullah Saw bersabda: Sesungguhnya kalian mengadukan perkara kalian kepadaku, dan sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia, barangkali salah seorang dari kalian lebih pintar dalam alasannya daripada yang lain, dan aku hanya memutuskan berdasarkan apa yang aku dengar.

Maka barang siapa yang aku putuskan sesuatu untuk kemenangannya menyangkut hak saudaranya, janganlah dia mengambilnya. Kerana sebenarnya aku memberikan kepadanya sepotong api neraka, yang akan ia bawa seraya dikalungkan di lehernya kelak di hari kiamat.

Maka kedua lelaki itu menangis…. [seterusnya…]

Pemimpin politik yang selalu melaungkan tabayun setelah membaca kisah ini lalu tahulah ia bahawa dengan alasan licik dan ketiadaan bukti [kononnya] maka perbicaraan penuh sahajalah dapat menyelesaikan pertikaian 1MDB bagi pihak yang menuduh dan tertuduh.

Hakim mahkamah termasuk PDRM, SPRM dan AG hendaklah mengatakan apa yang dikatakan oleh Rasulullah mengenai api neraka – kalau sesudah nasihat ini tidak diendahkan apatah lagi takut ancaman maka bacalah firman Allah:

Dan barang siapa yang menentang Rasul sesudah jelas kebenaran baginya, dan mengikuti jalan yang bukan jalan orang-orang mukmin, Kami biarkan ia berkuasa terhadap kesesatan yang telah dikuasainya itu. dan Kami masukkan ia ke dalam Jahanam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali. – (An-Nisa: 115)

Susunan: Berita Mimpi – Ana Ghoib ... Risalah nasihat ‘tiadalah sesudah kebenaran itu melainkan kesesatan yang balasannya neraka!’ Semoga Allah menambahkan petunjuk untuk kita…

KLIK BACA: “Agamawan diheret pertahan salah laku 1MDB”

KLIK TERKINITun Mahathir beritahu GUARDIAN akan sokong Anwar jadi PM ketujuh

KLIK BACA: Jika Jho Low, Riza Aziz cuma berbelanja di Malaysia, Saman DOJ tidak timbul

KLIK BACA: Gadis melayu bertudung bela anjing – JAKIM harap bertaubat

KLIK BACA: Najib cuti ‘wasatiyyah’ dalam negara sahaja tak boleh ke?

Tolong Komen & Share