Ketua Pesuruhjaya Polis Pulau Pinang Chuah Ghee Lye mengesahkan anggota itu dibayar dan siasatan menyeluruh sedang dilakukan untuk memerangi kemungkinan masalah korupsi yang wujud di lokap berpusat Bayan Baru. – Gambar The Malaysian Insight, 11 Julai, 2017.

POLIS berkata anggotanya yang sedang disiasat kerana melepaskan seorang pesalah dadah daripada tahanan Ahad lalu, dibayar untuk melakukannya.

Lapan orang anggota polis dan seorang nelayan yang mengenali tahanan melarikan diri itu sedang direman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Pulau Pinang Chuah Ghee Lye berkata ada maklumat yang sejumlah wang dibayar tetapi dia tidak boleh mendedahkan jumlah yang tepat.

“Kami ada maklumat tetapi kami sedang sahkan. Seorang atau dua ada bercakap tentang duit. Saya boleh sahkan duit dibayar, kerana mereka tak akan buat tanpa bayaran. Kami juga sedang cuba kenal pasti siapa yang buat bayaran.

“Saya tak boleh dedahkan maklumat jumlah kerana siasatan masih di peringkat awal. Ia mungkin menjejaskan kes sekiranya jumlah sebenar berbeza dengan apa saya katakan bila kes ini dibicarakan di mahkamah,” katanya kepada wartawan hari ini.

Chuah berjanji akan memberikan maklumat lanjut beberapa hari lagi.

Dilaporkan yang suspek berusia 43 tahun itu melepaskan diri daripada sebuah van polis yang turut membawa lima anggota polis dan dua tahanan lain ketika dalam perjalanan ke Hospital Balik Pulau, Ahad lalu.

Polis kemudian mendapati anggotanya yang berada dalam van tersebut membuat laporan palsu mengenai kejadian itu.

Tahanan tidak dibawa ke hospital, sebaliknya anggota polis itu membawa tahanan yang tidak digari berjumpa ahli keluarga mereka. Van itu juga tidak rosak yang membolehkan tahanan itu melepaskan diri seperti yang didakwa dalam laporan.

Tahanan yang melepaskan diri, seorang pengedar dadah yang ditahan dan didakwa pada 2015 kerana mengedar dadah. Dia ditahan di penjara Alor Setar, Kedah dan kemudiannya dihantar ke lokap berpusat di Bayan Baru pada 6 Julai untuk menghadiri perbicaraan di mahkamah George Town.

Chuah berkata yang “masalah korupsi” akan menjadi tumpuan dalam siasatan lima anggota yang berada dalam van ketika kejadian, tetapi polis juga akan meluaskan siasatan untuk mencari anggota lain yang mungkin terlibat sama.

“Mereka tidak libatkan orang lain selain mereka berlima tetapi kami akan siasat anggota lain di lokap berpusat itu. Mereka bekerja ikut shif. Shif lapan jam dan ada 20 anggota.

“Mungkin ada yang lain terlibat. Mungkin ada salah laku lain yang berlaku. Siasatan rapi akan dijalankan,” katanya menambah yang itu ialah kes salah laku anggota polis dan tidak mencerimkan kontijen polis secara keseluruhan.

Chuah berkata yang keutamaan masih lagi mengesan tahanan yang lari itu, dipercayai sudah meninggalkan Pulau Pinang.

“Kami akan mencarinya di sekitar Pulau Pinang, Kedah dan tempat lain juga. Dia pernah bergiat aktif di Kedah. Kami akan mencarinya di tempat yang dia selalu pergi.

“Keutamaan lain ialah menyiasat penglibatan anggota kami. Jika ada bukti mencukupi, kami akan dakwa mereka,” katanya.

Chuah juga berkata, nelayan yang ditahan berasal dari Pulau Pinang mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah dan diketahui boleh mengatur perjalanan orang melarikan diri melalui jalan laut.

Dia berkata lagi, yang suspek dilaporkan mahu berjumpa nelayan itu.

“Setakat ini, kita tahu yang tahanan itu meminta dihantar ke tempat tertentu untuk mencari seseorang.

“Daripada soal siasat, kami mendapati yang nelayan ini disebut dan dia mungkin mengatur laluan melepaskan diri.”

Chuah berkata nelayan itu menafikan pernah berjumpa suspek.

“Kami menangkapnya agak awal, jadi mungkin dia (tahanan melarikan diri) tidak menggunakan jalan laut.

“Kami perlu menyoal nelayan itu untuk mengetahui apa yang dirancang dan dibincangkan,” katanya. – TMI

KLIK BACATun Mahathir beranikah ‘Negarawan Sebenar’ tangkap?

DIKEMASKINIKJ diharap sahut cabaran TMJ lawan pasukan polo baginda

KLIK BACA: Tun Mahathir cabar Najib tangkaplah…

Tolong Komen & Share