KUMPULAN pemerhati Syrian Observatory for Human Rights hari ini mengatakan ia memperoleh maklumat daripada pemimpin tertinggi kumpulan militan Islamic State (IS) yang mengesahkan kematian ketua organisasi itu Abu Bakr al-Baghdadi.

“Komander peringkat tertinggi IS yang hadir di wilayah Deir Ezzor mengesahkan kematian Abu Bakr al-Baghdadi, pemimpin IS kepada Observatory,” kata pengarah Rami Abdel Rahman kepada AFP.

“Kami mengetahui mengenainya hari ini tetapi tidak tahu bila dia mati atau bagaimana.”

Deir Ezzor, di Syria timur, sebahagian besarnya masih berada di bawah kawalan IS walaupun kumpulan itu kehilangan wilayah lain di negara ini dan Iraq.

Abdel Rahman berkata Baghdadi “ada di bahagian timur wilayah Deir Ezzor” beberapa bulan kebelakangan ini, tetapi tidak jelas sama ada dia terbunuh di kawasan itu atau tempat lain.

Terdapat khabar angin yang berterusan mengenai kematian Baghdadi beberapa bulan kebelakangan ini, dan tentera Rusia berkata pada pertengahan Jun yang ia berusaha untuk mengesahkan sama ada berjaya membunuh ketua IS itu dalam serangan udara di Syria pada Mei lalu.

Tentera Rusia berkata pesawat perang Sukhoi melakukan serangan 10 minit pada 28 Mei di lokasi berhampiran kubu IS Raqa, di mana pemimpin kumpulan berkumpul untuk merancang pengunduran dari kawasan tersebut.

Gabungan yang diketuai Amerika menentang pelampau di Syria dan Iraq juga berkata, tidak dapat mengesahkan sama ada serangan Rusia membunuh Baghdadi.

Pemimpin IS berusia 46 tahun yang dilahirkan di Iraq itu tidak dilihat di khalayak ramai sejak penampilannya pada 2014 di Masjid Besar Al-Nuri, Mosul.

IS memusnahkan tapak yang sangat simbolik itu sebelum tentera Iraq sampai ketika mereka cuba menghalaunya dari Mosul, di mana kerajaan Iraq secara rasmi mengisytiharkan kemenangan semalam.

Dengan ganjaran AS$25 juta (RM107 juta) bagi sesiapa yang berjaya menangkap Baghdadi, dia menyembunyikan diri dan dikhabarkan bergerak secara berkala di seluruh wilayah IS yang ditawan di antara Iraq dan Syria.

Kematiannya, jika disahkan, akan menjadi tamparan baru kepada kumpulan yang sedang menentang pakatan Kurdi dan Arab yang disokong AS untuk menawan kubu Syria, Raqa. – AFP

Tolong Komen & Share