Mayat Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der  yang ditemui dengan kesan tetakan di Kampung Pengkalan Nyireh, Besut. – Foto Mohamad Ishak | MyMetro

BESUT – Seorang lelaki maut ditetak sekumpulan remaja dan lebih memilukan apabila kejadian itu disaksikan abang mangsa sendiri dipercayai akibat salah faham, di Kampung Pengkalan Nyireh di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang itu, Nik Mohamad Sharulanuar Nek Der, 22, dari Jalan Pantai, Kampung Teluk Bayu, Kuala Besut dikatakan pergi ke kampung itu bersama abang dan seorang rakannya untuk berbincang bagi menyelesaikan satu tuduhan yang dibuat terhadap mereka.

Menurut abang mangsa, Nik Mud Nek Der, 24, mangsa sebelum ini dituduh membakar motosikal kepunyaan ibu seorang daripada suspek pada 19 Jun lepas di rumah wanita berkenaan.

“Kami menegaskan kepada suspek bahawa kami tidak bersalah dan mengesyorkan kepada suspek untuk membuat laporan polis jika tidak berpuas hati dengan penerangan kami.

“Ketika itu suasana menjadi tegang dan kira-kira 15 orang rakan suspek datang ke rumah itu dan mula campur tangan. Bila keadaan menjadi kalut, saya terus ajak adik dan rakan melarikan diri melalui pintu belakang.

“Kami dikejar oleh kumpulan remaja yang membawa pedang hingga ke dalam semak,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Besut di sini hari ini.

Ketika melarikan diri, nasib tidak menyebelahi adiknya kerana tidak dapat berlari laju akibat kecederaan lutut lalu jatuh di satu kawasan semak sebelum ditetak sekumpulan lelaki berkenaan, katanya.

“Dari jarak kira-kira 50 meter saya dapat lihat bagaimana adik saya ditetak hingga membawa maut. Saya sempat menyorokkan diri di dalam semak untuk menyelamatkan diri selama lebih setengah jam sebelum keluar mendapatkan bantuan daripada penduduk kampung,” katanya sebak.

Nik Mud terkilan tidak dapat membantu adiknya kerana semasa kejadian, dia tidak membawa telefon bimbit untuk memohon bantuan.

Jenazah mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Kuala Besut selepas Asar tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut Superintenden Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan kejadian terbabit.

Katanya, pihaknya kini sedang menjalankan siasatan dan menjangka akan dapat menangkap suspek tidak lama lagi. – Bernama

KLIK BACA: Najib kehabisan hujah ‘bekas PM berdarah India’

KLIK BACA: Kes Jho Low mangsa utama ialah 1MDB, kata pendakwaraya Singapura

KLIK BACA: Jemaah Haji 1MDB doakan mereka yang aniaya bagaimana pula?

KLIK BACATun Mahathir beranikah ‘Negarawan Sebenar’ tangkap?

Tolong Komen & Share