Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan ucapan semasa rumah terbuka Parlimen Lembah Pantai yang turut dihadiri Nurul Izzah Anwar. – Foto oleh Seth Akmal | TMI

oleh Asila Jalil, Yasmin Ramlan

SIAPA sangka Dr Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab memecat, memalukan dan memenjarakan ayahnya hampir 20 tahun lepas kini menjadi tetamu kehormat di acara rumah terbuka kawasannya.

Nurul Izzah Anwar, ahli Parlimen Lembah Pantai yang juga naib presiden PKR itu kelihatan gembira mengalu-alukan kehadiran mantan perdana menteri yang paling lama berkhidmat itu ke majlis rumah terbuka yang diadakan secara sederhana itu malam semalam.

Tiada penghawa dingin mahupun karpet merah mengiringi kehadiran tetamu kehormat yang dahulu dikatakan mengamalkan pemerintahan kuku besi itu. Tetapi ia disambut dengan meriah di kawasan tempat letak kereta bersebelahan restoran mamak di Bangsar.

Dr Mahathir dalam ucapannya sebelum beransur pulang mengambil kesempatan menyeru kepada kira-kira 1,000 orang para hadirin yang hadir di situ untuk membuat keputusan yang betul dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada pilihanraya akan datang.

“Kita ada dalam PH ini bukan sebab pangkat dan sebagainya tapi kerja untuk pulihkan semula negara ini setelah dirosakkan dengan teruknya oleh Najib Razak,” katanya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, selagi Najib tidak disingkirkan, keadaan negara tidak dapat dipulihkan semula.

“Sebab itu kita bekerjasama erat dengan parti yang menentang Najib.

“Kita di PH berkhidmat untuk rakyat bukan untuk curi duit tapi nak pegang jawatan untuk pulihkan semula negara kita ini. Jadi saya rayu kepada rakyat untuk undi PH.

“Dan di kawasan Nurul (Izzah) akan dipilih semula dan dia akan mewakili rakyat di Lembah Pantai,” katanya dalam ucapan beliau.

Orang ramai yang hadir di situ berpusu-pusu untuk tidak melepaskan peluang bergambar bersama kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu.

Dr Mahathir ditemani isterinya Dr Siti Hasmah Mohamad Ali beransur pulang pada 9.10 malam diiringi para hadirin.

Salah seorang penduduk kawasan berhampiran yang hadir, Santokh Gill, 72, memberitahu The Malaysian Insight, beliau kagum dengan gandingan ahli keluarga ketua umum pembangkang itu dan bekas seterunya.

“Ia gandingan yang mantap. Lebih-lebih lagi apabila kita melihat Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima lelaki yang memenjarakan suaminya sebelum ini. Ini menunjukkan isu tersebut telah selesai.

“Antara pemimpin dalam PH, ia merupakan hubungan yang membawa manfaat. Mereka datang dari parti yang berbeza bekerjasama demi rakyat, ” kata pesara itu.

Daniel Teoh, 47, seorang agen hartanah pula berkata tujuannya hadir adalah untuk memberi sokongan kepada PH.

Bimbang dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil dan keadaan matawang ringgit yang kian merudum, Teoh dari Damansara Height berkata beliau mengharapkan masa hadapan yang cerah untuk Malaysia.

“Ringgit merudum dengan teruk dan dunia kini sudah hilang keyakinan terhadap kita (Malaysia). Saya harap PH boleh menang pada PRU akan datang dan gandingan in tepat serta pemimpin akan berkhidmat demi rakyat,” katanya.

Orang ramai yang hadir dari pelbagai bangsa dan umur juga tidak berputus-putus mengucapkan selamat maju jaya dan berterima kasih kepada Izzah atas usaha yang dilakukan untuk Malaysia.

Nurul Izzah berkata rakyat Malaysia perlu menggalas tanggunjawab mereka untuk mengundi pada PRU nanti kerana jumlah 4 juta pengundi yang layak mengundi tidak berdaftar amat membimbangkan.

Katanya, apa yang terjadi di Amerika Syarikat tidak seharusnya terjadi Malaysia iaitu keputusan kemenangan Donald Trump sebagai presiden AS berikutan pengundi muda yang enggan keluar mengundi.

Ini kerana katanya, hanya pada PRU nanti sahaja dapat menentukan hak yang bakal diterima rakyat Malaysia.

“Rakyat tidak harus bagi kuasa kepada pemimpin kleptokrat yang curi duit banyak,” katanya dalam ucapan tersebut.

Mengulas kenyataan Najib yang menasihati rakyat Malaysia untuk tidak merisikokan masa depan negara di tangan pembangkang dengan hala tuju yang tidak jelas, katanya, beliau terkejut dengan kenyataan retorik yang masih digunapakai pemimpin yang terpalit dengan skandal syarikat kewangna beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.

“Kita sudah di dalam suasana pasca ujikaji, kalau dahulu semua retorik murahan begini mungkin boleh dipercayai rakyat.

“Saya agak terkejut Najib Razak tidak prihatin bahawa kita sudah ada dua negeri yang paling berjaya daripada segi kemakmuran ekonomi iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang diketuai pembangkang.

“Justeru itu, saya minta beliau membaca laporan ketua audit sebelumnya untuk lihat sendiri bagaimana teraju kepimpinan di bawah pembangkang ini yang melahirkan suasana ekonomi yang tiada rasuah dan membawa program yang berdasarkan rakyat,” katanya kepada pemberita.

Antara pemimpin PH yang hadir merupakan exco Selangor Elizabeth Wong, Tian Chua, Dyana Sofea, pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil, dan bekas pemimpin Umno Khairuddin Abu Hassan. – Read more TMI

KLIK VIDEO: “Nazri Aziz – Mahathir dan Anwar akan ‘berbunuhan’ elok mati lepas PRU pelan-pelan”

KLIK VIDEO: PH jadi kerajaan bukan untuk beli berlian jutaan ringgit beri isteri, kata Tun Mahathir

KLIK BACA: Najib kehabisan hujah ‘bekas PM berdarah India’

KLIK BACATerharu komitmen Pakatan Harapan bebaskan Anwar dari penjara – Ana ghoib

KLIK BACA: Apa hendak dibanggakan jual harta pusaka kerajaan – Khairuddin Abu Hassan

KLIK MENARIK: Hubungan Jho Low dan Najib dalam 1MDB

KLIK BACA: Tun Mahathir – Najib bayar perunding asing nasihat hal kerajaan

Tolong Komen & Share