Fidelis Arie Sudewarto menanam pokok ganja sebagai ubat untuk isterinya, Yeni Riawati yang sakit. – Foto Tribun Medan

SEORANG lelaki Indonesia yang menanam marijuana atau ganja untuk membantu mengurangkan kesakitan ditanggung isterinya kerana menghidap kanser, dijatuhi hukuman penjara lapan bulan, semalam.

Fidelis Arie Sudewarto disabitkan bersalah menanam marijuana tanpa kebenaran mahkamah daerah Sanggau, Kalimantan Barat, walaupun diketahui dia melakukannya demi isterinya yang menghidap siringomielia, satu penyakit jarang ditemui.

Kes itu mendapat perhatian seluruh Indonesia, negara yang mengenakan antara undang-undang paling ketat di dunia bagi kesalahan membabitkan salah guna dada, termasuk hukuman mati terhadap pengedar.

“Kami kecewa dengan keputusan itu kerana hakim mengakui mempertimbangkan alasan yang anak guam kami tidak terbabit mengedar dadah, malah dia bukan penagih pun,” kata peguam Marcelina Lin yang mewakili Sudewarto.

Lin berkata beberapa ujian dadah dilakukan membuktikan tertuduh berusia 34 tahun yang juga penjawat awam itu tidak mengambil dadah.

Mahkamah juga mengarahkan Sudewarto membayar denda 1 bilion rupiah (AS$75,000) atau tambahan sebulan hukuman penjara.

Terdahulu, pendakwa hanya memohon hukuman penjara lima bulan dikenakan terhadapnya.

Peguam berkata Sudewarto mula menanam marijuana selepas membaca beberapa artikel di Internet yang mendakwa pokok itu boleh mengurangkan kesakitan isterinya. Dia tahu ia menyalahi undang-undang.

Selepas mengambil marijuana, isterinya Yeni Riawati mula rasa lebih sihat dan luka di tulang belakangnya mula sembuh.

Walaupun Suderwerto memberikan penjelasan, agensi pencegahan dadah tempatan menahannya pada Februari. Riawati meninggal dunia sebulan selepas suaminya ditahan.

Suderwerto, bapa kepada dua anak yang masih kanak-kanak menangis memberitahu peguamnya yang dia sangat kecewa dengan keputusan mahkamah.

“Anak guam kami berkata walau apa pun keputusannya, ia tidak akan membawa kembali isterinya,” kata Lin.

Aktivis dan kumpulan hak asasi manusia mengutuk kes yang dikenakan terhadap Sudewarto.

“Undang-undang itu sendiri cacat, apa yang Sudewarto lakukan memang melanggar undang-undang tetapi dia buat begitu untuk menyelamatkan nyawa,” kata peguam hak asasi manusia Ricky Gunawan.

Indonesia menjatuhkan hukuman tembak terhadap pesalah dadah, termasuk warga asing dan tempatan dalam tempoh beberapa tahun lalu. – AFP

Tolong Komen & Share