Posted 2013/07/06 by Ana Ghoib in Berita Terkini
 
 

Had tempoh pinjaman peribadi dan pinjaman perumahan diturunkan – BNM

www.bnm.gov.my
www.bnm.gov.my

KUALA LUMPUR 5 Julai – Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menetapkan tempoh pinjaman peribadi maksimum dihadkan selama 10 tahun manakala pinjaman pembelian rumah dihadkan selama 35 tahun.

Sebelum ini, had tempoh pinjaman peribadi ialah 25 tahun manakala pinjaman pembelian rumah ialah 45 tahun.

Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, langkah itu bertujuan mengekang hutang isi rumah ketika ini berada pada paras 83 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Katanya, paras tersebut adalah yang tertinggi di Asia daripada kalangan negara-negara ekonomi berkembang pesat. Malah meningkat 12 peratus daripada 70 peratus pada 2009.

Selain memendekkan had tempoh pinjaman peribadi dan pembelian aset, larangan turut dikenakan bagi menawarkan produk pembiayaan peribadi yang diluluskan terlebih dahulu. Lapor Utusan Malaysia.

“Langkah yang berkuatkuasa serta-merta bagi melengkapkan langkah terdahulu yang dilaksanakan sejak tahun 2010 untuk mengawal perbelanjaan isi rumah.

“Isi rumah perlu memikirkan kemampuan mereka sebelum berbelanja. Sebagai contoh, jika tidak mampu membeli rumah, mereka boleh menyewa.

“Malah terdapat pinjaman peribadi dilakukan semata-mata bagi menanggung kos perkahwinan yang tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di sini hari ini.

Bagaimanapun, had bagi tempoh pembiayaan itu tidak melibatkan permohonan yang dibuat sebelum hari ini.

Langkah ini dilaksanakan menurut seksyen 31(1)(a) Akta Bank Negara Malaysia 2009 dan terpakai pada semua institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM, serta koperasi kredit yang di bawah kawal selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia, dan Malaysia Building Society Bhd. dan AEON Credit Service (M) Bhd.

Sehingga Mac 2013, hutang isi rumah Malaysia berjumlah RM784 bilion yang mana 44.6 peratus daripadanya merupakan hutang membeli kediaman.

Diikuti hutang membeli kenderaan (17.6 peratus) dan pinjaman peribadi (16.8 peratus).

Tambah Zeti Akhtar, langkah itu tidak dilihat menjejaskan permintaan domestik yang selama ini pendorong utama pertumbuhan ekonomi negara.

“Ekonomi negara sepatutnya disokong oleh peningkatan pendapatan serta kadar pengangguran yang rendah,” katanya.

Gabenor itu berkata, perbincangan mengenai had baharu pinjaman tersebut telah dibincangkan dengan perbankan dan pemberi kredit tempatan, dan mereka menyokong langkah berkenaan dalam usaha mengawal hutang isi rumah negara.

Bagi menambah baik pengurusan hutang yang bertanggungjawab oleh isi rumah, BNM akan mempergiat usahanya dalam menyediakan pendidikan kewangan kepada semua segmen masyarakat, termasuk mereka yang masih muda dan peminjam kali pertama daripada institusi kewangan.

Di samping itu, rangka kerja perlindungan pengguna akan terus diperkukuh di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam.

Share on FacebookTweet about this on TwitterGoogle+Share on LinkedIn
KLIK ICON SHARE – MRM TQ Grazie Merci Syukran

Sharing is Caring


Ana Ghoib

 
Wayfarer & Wanderer | Trader Viator Avant Garder | Ana Ghoib - Al Hina


IKLAN MRM BLOGEZINE KLIK SINI HUBUNGI