Foto kredit Sinar Harian

SUNGAI PETANI 1 Okt. – Lebih 170 orang yang mengalami keracunan makanan selepas menghadiri kenduri kahwin di sebuah rumah di Tanjung Dawai dekat sini Sabtu lepas sehingga berlaku tiga kematian semalam, telah dan sedang dirawat di tiga hospital berdekatan lapor Bernama dan Utusan.

Sehingga kini, yang paling ramai ialah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini iaitu 114 orang, manakala sembilan mangsa menerima rawatan di Hospital Pantai Sungai Petani dan 49 orang di Hospital Yan.

Ahli Parlimen Merbok, Dr. Ismail Daut berkata, daripada 114 orang itu, 78 daripada mereka telah dibenar pulang dari HSAH.

“Kebanyakan daripada mangsa terdiri daripada warga emas manakala kanak-kanak seramai 14 orang,” katanya ketika melawat mangsa yang dirawat di HSAH hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan mangsa mengalami cirit-birit dan kekurangan air dalam badan sejak awal pagi semalam.

Sementara itu, jurucakap Hospital Yan pula berkata, seramai 49 orang masih dirawat di hospital itu dan kebanyakan mereka dilaporkan stabil.

Semalam, tiga dilapor maut ekoran keracunan makanan selepas menghadiri majlis perkahwinan di Tanjung Dawai Sabtu lepas.

Nurshazana Mohd Rashid, 24, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Tempoyak, Bedong pada pukul 12.45 tengah hari manakala Mohd Nor Rahmat Yusof, 11, dari Kampung Singkir Laut, Yan meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari ketika dirawat di Hospital Yan.

Mangsa ketiga, Ibrahim Mohammad, 62, yang berasal dari Alor Jejawi, Kuala Besut, Terengganu meninggal dunia pada pukul 6.30 petang di HSAH.

Ismail berkata, beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk melakukan siasatan berhubung kejadian itu.

“Berdasarkan makluman mangsa dan tuan rumah sendiri, tiada unsur khianat wujud. Namun, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan,” katanya.

Ismail berkata, pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan negeri sedang menjalankan siasatan mengenai punca kejadian. – BERNAMA via Utusan Malaysia


 

Tolong Komen & Share