Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata anak lelaki Datin Seri Rosmah Mansor, Riza Shahriz Abdul Aziz perlu menjelaskan kemampuannya sehingga didakwa berupaya membeli hartanah bernilai RM110 juta di New York.

Rafizi berkata, Riza Shahriz, 36 tahun itu perlu mendedahkan bagaimana penerbit filem itu mendapatkan wang untuk membeli hartanah mewah tersebut dan identiti rakan niaganya.

Katanya, warga Malaysia pastinya mahu mengetahui siapa rakan niaga di belakang anak isteri perdana menteri itu.

Menurut Rafizi, anak tiri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, langkah berkenaan akan dapat memperbaiki persepsi orang awam terhadap keluarga perdana menteri.

Katanya, masyarakat akan mendapat gambaran mengenai kehidupan Riza Shahriz sekiranya mengetahui bagaimana wang itu diperolehi.

“Saya yakin bukan wang simpanan walaupun dia simpan dari kecil dari ibunya, jadi kita tahu siapa pelabur beliau, yang begitu bermurah hati beri wang begitu banyak,” kata beliau dalam sidang media di ibu pejabat PKR hari ini.

Rafizi ketika menjawab soalan wartawan berkata tidak logik bagi seorang pegawai pelaburan bank mengumpul wang yang cukup dengan hanya bekerja seperti itu.

“Umur sebaya saya, berdasarkan pendapatan saya sendiri, saya tahu berapa banyak pendapatan beliau sebagai ‘pengurus pelaburan’.

“Beliau pernah kerja di KPMG dan HSBC London, paling banyak pun, beliau dapat GBP100,000 setahun, bulanan lebih kurang GBP8,000.

“Jika tolak pelan kesihatan, cukai pendapatan mungkin maksimum dapat jimat GBP3,000 pound sebulan, lebih kurang RM 150,000 setahun.

“Beliau kerja lapan tahun jadi terkumpul sepatutnya RM1.5 juta bukan RM110 juta,” kata beliau

Laporan laman Sarawak Report menyebut, anak lelaki Rosmah daripada perkahwinan terdahulu itu membeli hartanah di West 63rd Street di Park Laurel, New York itu pada 19 November tahun lalu.

Laporan itu memetik laman web syarikat hartanah New York, The Real Deal, yang menyatakan Riza hartanah tersebut dilengkapi dengan tujuh bilik.

Satu laporan New York Times menyebut unit megapuri (penthouse) itu yang terletak di Central Park West, dibeli Riza menerusi syarikat dengan liabiliti terhad dikenali sebagai Park Laurel Acquisition.

Tolong Komen & Share