Kita memasuki gerbang 2014. Bermulalah Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 yang menjanjikan keistimewaan, pengalaman dan keseronokan melalui pelbagai acara, kemudahan dan keindahan khazanah alam.

Dengan slogan ‘Celebrating 1Malaysia Truly Asia’ bersama maskot Proboscis, TMM keempat bagi negara kita ini dirancang dan disusun penuh teliti bagi memastikan sasaran 28 juta pelancong dengan nilai pendapatan RM76 bilion tercapai lapor Mymetro Online.

Pembabitan, sokongan dan sikap keterbukaan pel­bagai lapisan masyarakat tanpa mengira perbezaan budaya dan etnik tentunya akan membantu menjayakan kelangsungan program berkenaan.

TMM buat julung kali­nya dilancarkan pada 1990, dengan tema ‘Fascinating Malaysia. Year of Festivals’. Kempen itu memberi kejayaan besar buat Malaysia dengan jumlah 7.4 juta pe­ngunjung berbanding 4.8 juta pada 1989.

Foto
LEGOLAND menawarkan pengalaman taman tema kelas pertama dengan tunggangan menyeronokkan, pameran interaktif dan kawasan bertema. Foto Mymetro

Ketika itu, spesies terancam di Malaysia Timur, Orang Utan digunakan sebagai maskot dan dinamakan ‘Wira’.

Mercu tanda terkenal di Kuala Lumpur, Bangunan Sultan Abdul Samad dipaparkan sebagai logo rasmi TMM 1990.

Lagu ‘To know Malaysia is to love Malaysia’ ketika itu boleh dikatakan sentiasa menjadi siulan warganegara kita.

Kejayaan TMM kali pertama itu menjadi pendorong kepada TMM 1994. Dengan tema ‘Fascinating Malaysia. Naturally More’, ia mencerminkan lebih banyak acara disusun dan Orang Utan sekali lagi digunakan sebagai maskot tahun berkenaan.

Sementara TMM 2007 sempena ulang tahun kemerdekaan ke-50 Malaysia dengan tema ‘Celebrating 50 Years of Nationhood’.

Usaha juga dipergiat­kan dalam semua aktiviti pengiklanan dan promosi termasuk slogan ‘The time is now. The place is Malaysia’ bersama kejayaan dan slogan berkesan ‘Malaysia Truly Asia’.

Program TMM bagi kali ketiga itu membabitkan lebih 200 acara di seluruh negara dengan 50 acara utama diadakan untuk mempamerkan kekayaan tarikan pelancongan di Malaysia.

TMM 2007 mencatatkan suatu kejayaan besar di luar jangkaan dengan menerima 20.97 juta pelancong dan memperoleh sebanyak RM46.1 bilion pada pendapatan pelancongan.

Ini bermakna, pening­katan sebanyak 3.42 juta pelancong dan RM9.8 bilion diperoleh TMM 2007 berbanding tahun sebelumnya.

Bagi program tahun ini, ia menggambarkan kepelbagaian dalam perpaduan rakyat Malaysia.

Kempen dan promosi mengenainya bermula pada 2013 lagi, dengan membabitkan pelbagai acara khas sepanjang tahun, sekali gus menggambarkan kesung­guhan dan kesinambungan kepada TMM 2014.

TMM bagi edisi kali ini akan menjadi acara terbesar dan paling gah dengan beratus-ratus acara dan festival yang disenaraikan untuk menyambut tetamu dari seluruh dunia.

Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan bangsa di mana masyarakat Melayu, Cina serta India dan pelbagai kumpulan ­etnik yang lain hidup bersama dalam suasana harmoni dan penuh persefahaman.

Kepelbagaian budaya, dialek dan cita rasa makanan di samping sikap ramah, mesra dan murah senyuman setiap warga, menjadikannya sebuah destinasi unik yang sangat menarik untuk dikunjungi.

Dengan panorama alam­ semula jadinya yang menghijau, bersama deruan air terjun di cerunan ­bukit serta tiupan seg­ar bayu pantai se­olah-olah sedang menggamit kehadiran pelancong.

Gandingan ciri tradisional dan moden dalam pelbagai medium sudah pasti memberikan pengalaman terindah buat pelancong yang ingin mengenali ke­unikan negara ini secara lebih dekat.

Pelancong yang lebih cenderung kepada produk seperti batik dan songket misalnya boleh meluangkan masa untuk melihat keunikan dan keindahan motif gabungan itu secara lebih dekat di lokasi tertentu.

Mereka yang teringin mencuba kesegaran buah-buahan tempatan dialu-alukan untuk bertamu ke dusun dan kawasan perkampungan. Semuanya dengan akses cukup mudah tanpa perlu membuang ba­nyak masa.

Bagi yang lebih suka aktiviti santai di sekitar pusat bandar, pelbagai tempat sedia menanti kunjungan anda. Taman haiwan, monumen dan menara pencakar langit, pusat pameran, gedung beli-belah ternama dan bertaraf antarabangsa, malah banyak lagi.

Secara keseluruhannya, TMM 2014 menawarkan kepelbagaian yang sukar di­tandi­ngi di tempat lain. Kenali Malaysia, cintai Malaysia.

Tolong Komen & Share