Posted 2013/04/20 by Ana Ghoib in Berita Harian
 
 

Teksi 1Malaysia mula beroperasi Jun 2013 – TEKS1M

TEKS1M
TEKS1M

Syed Hamid Albar (dua dari kiri) menerima dokumen perjanjian daripada Mohd. Khamil Jamil (kanan) semasa Majlis Memperkenalkan Teksi 1Malaysa (Teks1M) dan Pelancaran Reka bentuk Teksi1M di Pusat Proton di Shah Alam, semalam. Turut kelihatan Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal (kiri sekali).
SUBANG JAYA 18 April – Sebanyak 1,000 Teksi Rakyat 1Malaysia (Teks1M) akan beroperasi di sekitar Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang bermula Jun hingga Oktober tahun ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, buat permulaan, usaha itu akan membabitkan seramai 200 pemandu teksi yang diberi lesen individu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mac lalu dan selebihnya dipilih berdasarkan kriteria tertentu.

Menurutnya, pengenalan perkhidmatan itu akan membantu meningkatkan industri pengangkutan awam sekali gus menambah pendapatan mereka menerusi penawaran perkhidmatan lebih selesa.

“Kita akan babitkan 200 penerima lesen individu sebelum ini dan bakinya sedang ditapis berdasarkan pengalaman memandu dan kriteria penting lain.

“Apa yang ditawarkan ini bukan sahaja merangkumi jenama 1Malaysia tetapi ciri-cirinya direka khas sesuai dengan pemanduan masa kini,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Teks1M di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal, Ketua Pegawai Pembangun SPAD, Azmi Abdul Aziz dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom, Datuk Seri Mohd. Khamil Jamil.

Beliau berkata, teksi terbabit dikeluarkan sama ada dengan tangki petrol sahaja atau dipasang siap dengan tangki gas asli (NGV) termasuk mesin bayaran yang menawarkan perkhidmatan dalam bentuk debit dan kredit kepada penumpang.

Syed Hamid berkata, selain prospek keselamatan, teksi model Exora mempunyai kelebihan lain seperti tempat duduk belakang berhawa dingin, ruang bagasi lebih besar dan warna teksi berlainan iaitu coklat keemasan.

“Model ini boleh didapati dalam modul kawalan automatik dan manual bagi memberi pilihan kepada mereka termasuk dibekalkan sistem perayauan, peranti sistem kedudukan global (GPS), beg udara, sistem brek antikunci, brek agihan elektronik dan sarung kerusi kulit,” katanya.

Beliau menjelaskan, Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) yang memakan masa tempoh tiga hingga enam bulan dari sekarang akan diusahakan SPAD supaya pemandu dan penumpang teksi dapat mengetahui lokasi masing-masing pada setiap masa.

“SPAD menjangkakan transformasi 60,000 pemandu teksi menggunakan model itu dalam tempoh lima hingga 10 tahun dan buat masa ini harga permulaan meter adalah RM3 khusus untuk teksi bajet.

“1,000 pemandu akan mendapat rebat RM5,000 daripada Yayasan 1Malaysia Development Berhad bagi pembelian model itu menjadikannya hanya RM59,000 seunit,” ujarnya.

Utusan Malaysia

Share on FacebookTweet about this on TwitterGoogle+Share on LinkedIn
Klik Icon Share – MRM TQ Grazie Merci Syukran

Sila Komen - Sharing is Caring


Ana Ghoib

 
Wayfarer & Wanderer | Trader Viator Avant Garder | Ana Ghoib - Al Hina


IKLAN MRM BLOGEZINE KLIK SINI HUBUNGI